KAHIRAH: Liga Arab dengan tegas mengecam penerbitan peta Israel yang mendakwa wilayah beberapa negara Arab sebagai sebahagian daripada rancangan ‘Israel Raya’.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit, yang memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa menangani tindakan provokatif itu boleh memburukkan lagi fahaman pelampau di rantau tersebut.
“Tindakan dan retorik tidak bertanggungjawab seperti ini akan mencetuskan ketegangan yang lebih parah,” kata Encik Aboul Gheit.
Beberapa negara Arab, termasuk Palestin, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), turut menyuarakan bantahan berasingan terhadap peta tersebut.
Penguasa Palestin mengecam keras penerbitan peta itu di akaun rasmi Israel yang mendakwa hak sejarah mereka ke atas sebahagian besar Timur Tengah.
Israel telah mencetuskan kemarahan dunia Arab selepas menerbitkan peta ‘Israel Raya’, yang menggambarkan wilayah pemerintahan Yahudi kuno dengan menawan Jordan, Syria, Lebanon, Mesir dan Palestin.
Peta tersebut diterbitkan pada 6 Januari melalui akaun rasmi Kementerian Luar Israel dalam bahasa Arab, di media sosial Instagram dan X.
“Tahukah anda bahawa Kerajaan Israel telah diasaskan 3,000 tahun lalu?” tulis kapsyen pada hantaran tersebut, bersama dengan peta yang memaparkan kawasan yang didakwa sebagai wilayah ‘Israel Raya’.
Kementerian Luar Qatar menyifatkan peta tersebut sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap resolusi antarabangsa dan undang-undang antarabangsa”.
Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata: “Tindakan ini akan menghalang peluang keamanan di rantau ini, terutama di tengah-tengah perang ganas di Jaluran Gaza.”
Jurucakap Presiden Palestin, Encik Nabil Abu Rudeina, menegaskan bahawa imej peta yang tersebar melalui media sosial tersebut adalah “pelanggaran terang-terangan terhadap banyak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa”.
Encik Abu Rudeina turut mendesak gencatan senjata segera di Gaza, penarikan balik tentera Israel, serta pelaksanaan resolusi antarabangsa bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu.
“Dasar ekstrem seperti ini bukan sahaja membahayakan kewujudan Palestin malah turut melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva,” tambah Ketua Majlis Nasional Palestin, Encik Rawhi Fattouh.
Arab Saudi turut mengutuk tindakan Israel tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha ekstrem untuk meneruskan penjajahan serta melanggar kedaulatan negara-negara di rantau ini.
Kementerian Luar Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelanggaran Israel terhadap kedaulatan negara-negara Arab.
“Kedaulatan negara dan sempadan mereka mesti dihormati bagi mengelakkan krisis di rantau ini daripada menjadi semakin meruncing,” tegas kementerian itu.
UAE pula menyifatkan tindakan Israel sebagai usaha sengaja untuk meluaskan penjajahan.
“Tindakan ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa,” kata Kementerian Luar UAE, sambil menyeru masyarakat sedunia supaya mendesak Israel agar mematuhi penyelesaian legitimasi antarabangsa.
Kementerian UAE turut memberi amaran bahawa tindakan provokatif seperti itu akan “mencetuskan ketegangan lebih besar dan menghalang usaha mencapai keamanan serta kestabilan di rantau ini”.
Penerbitan peta itu berlaku serentak dengan kenyataan menteri sayap kanan Israel, Encik Bezalel Smotrich, yang menyeru penguasaan Tebing Barat yang diduduki dan pembinaan penempatan baru di Gaza.
Encik Smotrich bahkan menyatakan hasratnya untuk meluaskan sempadan Israel sehingga ke Damsyik, Iraq dan Arab Saudi.
Di Gaza, tentera Israel dilihat memakai lencana dengan peta ‘Israel Raya’ yang menunjukkan sempadan meluas hingga ke beberapa negara Arab.
“Peta ini bukan sekadar provokasi, malah satu ancaman nyata kepada kestabilan rantau ini,” kata seorang penganalisis politik di Gaza. – Agensi berita.
“
Tindakan dan retorik tidak bertanggungjawab seperti ini akan mencetuskan ketegangan yang lebih parah.”“
“Peta ini bukan sekadar provokasi, tetapi satu ancaman nyata kepada kestabilan rantau ini.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg