Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SIDANG PUNCAK G20

Biden lahir harapan tiada perang dingin dengan China

Nov 16, 2022 | 05:30 AM



DARI BALI: PRESIDEN Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan Presiden China, Encik Xi Jinping, mengadakan perbincangan terus terang mengenai Taiwan dan Korea Utara dalam pertemuan mereka yang berlangsung selama tiga jam kelmarin.



Mereka berharap hubungan dua hala yang tegang sebelum ini dapat dielakkan dari berubah menjadi Perang Dingin.



Malah, dua pemimpin itu bersetuju bahawa senjata nuklear tidak harus digunakan termasuk dalam perang di Ukraine.



Bertemu sehari sebelum berlangsungnya Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Nusa Dua, Bali, semalam, pemimpin dua gergasi ekonomi itu berjabat tangan dalam pertemuan empat mata yang dinantikan dunia.



Dalam sidang akhbar pada 9.30 malam kelmarin selepas pertemuan bersejarah itu, Encik Biden menyatakan beliau tidak percaya Presiden Xi merancang serangan ke atas Taiwan.



"Saya tidak fikir ada sebarang percubaan yang akan berlaku di pihak China untuk menyerang Taiwan.



"Saya benar-benar percaya tidak perlu ada Perang Dingin baru," kata Presiden Biden.



Menyifatkan pertemuan itu, Encik Biden berkata: "Saya tidak mendapati beliau (Encik Xi) lebih konfrontasi atau lebih berdamai. Saya dapati beliau seperti biasa dan berterus terang."



Bagaimanapun, Encik Xi Jinping lebih tegas dalam menyuarakan pandangan agar Encik Biden tidak melintasi 'garisan merah' ke atas Taiwan.



"Persoalan Taiwan adalah teras kepada kepentingan China, asas hubungan politik China-AS, dan garis merah pertama yang tidak boleh dilintasi dalam hubungan China-AS," kata Encik Xi yang dilaporkan memberitahu Encik Biden seperti dilaporkan agensi China, Xinhua.



Encik Biden memberitahu Encik Xi bahawa tindakan 'agresif' China ke atas Taiwan membahayakan keamanan.



Dalam kenyataannya, Rumah Putih menyatakan Encik Biden melahirkan rasa kurang senang terhadap tindakan agresif China terhadap Taiwan, sambil menambah ia "menggugat keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan dan di rantau yang lebih luas".



Taiwan telah menjadi antara isu ketegangan kedua negara selepas Speaker Dewan Rakyat Amerika, Cik Nancy Pelosi, membuat lawatan ke Taiwan awal tahun ini.



Encik Biden sebelum ini menyatakan Amerika akan melindungi Taiwan jika diserang China.



Beijing memandang Taiwan sebagai sebahagian China yang tidak boleh dipisahkan.



Mengenai Korea Utara, Encik Biden menyatakan ia sukar untuk mengetahui sama ada Beijing mempunyai pengaruh terhadap ujian senjata di Pyongyang.



Beliau memberitahu Encik Xi bahawa Amerika Syarikat akan melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan Amerika dan sekutunya Korea Selatan dan Jepun.



"Kami perlu mengambil tindakan tertentu yang lebih defensif bagi pihak kami... untuk menghantar mesej yang jelas kepada Korea Utara. Kami akan mempertahankan sekutu kami, serta tanah Amerika dan kapasiti Amerika," katanya.



Beijing telah menghentikan beberapa siri dialog rasmi dengan Washington, termasuk mengenai perubahan iklim dan rundingan ketenteraan, selepas Cik Pelosi mengecewakan China dengan melawat Taiwan pada Ogos lalu.



Namun, kedua pemimpin bersetuju membenarkan pegawai kanan memperbaharui komunikasi mengenai iklim dan isu lain, kata Rumah Putih.



Mengenai perang Russia di Ukraine, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa senjata nuklear tidak harus digunakan.



"Presiden Biden dan Presiden Xi mengulangi persetujuan mereka bahawa perang nuklear tidak boleh diperjuangkan dan tidak boleh dimenangi serta menekankan tentangan mereka terhadap penggunaan atau ancaman penggunaan senjata nuklear di Ukraine," kata kenyataan Rumah Putih.



Selain itu, Rumah Putih berkata Encik Biden juga menimbulkan beberapa isu dalam pertemuan itu termasuk amalan ekonomi 'bukan pasaran', isu di Xinjiang, Tibet dan Hong Kong dan hak asasi manusia.



Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken akan ke China untuk meneruskan perbincangan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >