Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden rancang usaha damai terakhir Timur Tengah

Namun pemilihan Donald Trump mungkin sebabkan Washington tidak punya kuasa pengaruhi Israel
Nov 8, 2024 | 1:58 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Pejabat Oval di Rumah Putih di Washington, Amerika, pada 25 Julai. Dengan pimpinan Encik Biden kini hampir ke penghujung, Encik Netanyahu, sekutu rapat Encik Donald Trump, dan para pemimpin Arab mungkin akan mendapatkan petunjuk daripada Encik Trump.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kiri), bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, di Pejabat Oval di Rumah Putih di Washington, Amerika, pada 25 Julai. Dengan pimpinan Encik Biden kini hampir ke penghujung, Encik Netanyahu, sekutu rapat Encik Donald Trump, dan para pemimpin Arab mungkin akan mendapatkan petunjuk daripada Encik Trump. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pentadbiran Encik Joe Biden akan melakukan usaha terakhir untuk mendapatkan perjanjian yang sukar dicapai bagi menamatkan perang di Gaza dan Lebanon.

Namun pemilihan Encik Donald Trump mungkin menyebabkan Washington tidak punya kuasa mencukupi untuk mempengaruhi Israel dan negara serantau sebelum Encik Trump menjadi presiden.

Pegawai kanan Amerika Syarikat yang telah meluangkan masa berbulan-bulan merentas Timur Tengah untuk rundingan damai kini berkemungkinan menghadapi rakan sejawatan mereka yang enggan mengambil langkah besar.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung menunggu pelantikan Encik Trump pada Januari, menurut sumber yang biasa dengan perkara itu serta penganalisis bebas.

Encik Trump berjanji untuk membawa keamanan ke Timur Tengah tetapi tidak mengatakan bagaimana.

Jika penggal pertamanya merupakan sebarang petanda, Encik Trumpberkemungkinan akan meneruskan pendekatan pro-Israel yang kuat, malah melampaui sokongan padu yang diberikan Presiden Biden kepada sekutu serantau utama Washington itu.

Menjelang detik Encik Trump menyandang jawatan presiden buat kali kedua, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, berkata pada 7 November:

“Kami akan terus mencari penyelesaian perang di Gaza, tamatkan perang di Lebanon dan meningkatkan bantuan kemanusiaan.

“Kewajipan kami ialah meneruskan dasar tersebut sehingga tengah hari 20 Januari (2025).”

Namun dengan keadaan Encik Biden kini yang tidak boleh berbuat apa-apa, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sekutu rapat Encik Trump, dan para pemimpin Arab mungkin tidak akan begitu mempedulikan presiden Demokrat itu.

Ia mungkin mengambil petunjuk daripada penggantinya daripada parti Republikan.

“Mereka mempunyai pengaruh yang jauh lebih sedikit,” kata Encik Brian Finucane, penasihat kanan program Kumpulan Krisis Antarabangsa Amerika.

“Orang ramai mungkin masih menjawab panggilan telefon mereka, tetapi semua orang menantikan pentadbiran baru, yang akan punyai dasar dan keutamaan yang berbeza.”

Sejak kemenangan Encik Trump dalam pilihan raya menentang Naib Presiden, Cik Kamala Harris, pegawai Arab dan Israel sudah mula melindungi kepentingan mereka.

Pengantara Mesir yang telah bekerjasama dengan rakan sejawatan Amerika dan Qatar mengenai cadangan gencatan senjata Gaza sedang menunggu untuk melihat bagaimana rancangan Encik Trump terbentuk untuk wilayah Palestin, kata sumber keselamatan Mesir.

Ketika dunia menyaksikan pilihan raya Amerika pada 5 November, Encik Netanyahu – yang jelas sokongannya terhadap Encik Trump dan memuji kemenangannya sebagai “bersejarah” – memecat Menteri Pertahanannya, Encik Yoav Gallant, rakan kongsi Israel yang disukai pentadbiran Encik Biden.

Kumpulan Hamas, yang bertempur dengan Israel selama lebih setahun di Gaza dan kumpulan bersenjata Lebanon, Hezbollah, kedua-duanya kelihatan memandang ke arah pentadbiran Encik Trump yang akan datang.

Serangan balas antara Israel dengan Iran telah menimbulkan kebimbangan perang serantau yang lebih luas.

Hamas telah menggesa Encik Trump supaya “belajar daripada kesilapan Biden”, dan Hezbollah berkata ia tidak menaruh banyak harapan Amerika akan berhenti menyokong Israel.

Pegawai Penguasa Palestin bagaimanapun berkata mereka menjangka akan terus bekerjasama dengan pembantu Encik Biden sehingga waktu Encik Trump memegang jawatan.

Washington berusaha mempercepatkan rundingan gencatan senjata Gaza selepas Israel membunuh ketua Hamas, Encik Yahya Sinwar, pada pertengahan Oktober, tetapi usaha itu tidak ke mana.

Di Lebanon, pegawai Amerika berkata mereka telah mencapai kemajuan tetapi perjanjian muktamad masih belum dicapai. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg