Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden sekat peneroka Israel lakukan keganasan di Tebing Barat

Feb 2, 2024 | 3:21 PM
Para pekerja penyelamat menutup mayat seorang mangsa tembakan yang berlaku di Baitulmakdis pada November lalu mendedahkan trend membimbangkan berhubung peningkatan keganasan yang dilakukan oleh peneroka Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis yang diduduki.
Para pekerja penyelamat menutup mayat seorang mangsa tembakan yang berlaku di Baitulmakdis pada November lalu mendedahkan trend membimbangkan berhubung peningkatan keganasan yang dilakukan oleh peneroka Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis yang diduduki. - Foto AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Encik Joe Biden telah mengenakan sekatan pada 1 Februari ke atas empat lelaki peneroka Israel kerana didakwa terlibat dalam keganasan di Tebing Barat, menandakan semakin meningkat rasa tidak senang Amerika Syarikat terhadap dasar Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Presiden Biden mengeluarkan perintah eksekutif sebelumnya yang bertujuan menghukum peneroka Israel yang berkelakuan buruk di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Perintah itu mewujudkan sistem untuk mengenakan sekatan kewangan dan sekatan visa terhadap individu yang menyerang atau menakut-nakutkan rakyat Palestin atau merampas harta mereka, kata penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan dalam satu kenyataan.

“Tindakan ini bertujuan untuk menggalak keamanan dan keselamatan untuk rakyat Israel dan Palestin,” katanya.

Sekatan Jabatan Negara – membekukan aset Amerika terhadap empat lelaki itu dan secara amnya menghalang rakyat Amerika daripada berurusan dengan mereka – adalah yang terbaru sejak militan Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober dan Israel bertindak balas dengan serangan ke atas Gaza yang dikendalikan Hamas.

Pada Disember, Amerika mula mengenakan larangan visa ke atas peneroka yang terlibat dalam keganasan di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Dalam dakwaannya, Jabatan Negara berkata:

• David Chai Chasdai memulakan dan mengetuai rusuhan dengan membakar kenderaan dan bangunan serta menyebabkan kerosakan harta benda di Huwara, mengakibatkan kematian seorang rakyat Palestin.

• Einan Tanjil menyerang petani Palestin dan aktivis Israel dengan batu dan kayu, mengakibatkan kecederaan yang memerlukan rawatan perubatan.

• Shalom Zicherman menyerang aktivis Israel dan kenderaan mereka di Tebing Barat, menyekat mereka di jalan, cuba memecahkan tingkap kenderaan serta mengancam dua aktivis dan mencederakan mereka.

• Yinon Levi mengetuai sekumpulan peneroka yang menyerang orang awam Palestin dan Badwi, membakar ladang dan memusnahkan harta benda mereka.

“Israel mesti berbuat lebih banyak untuk menghentikan keganasan terhadap orang awam di Tebing Barat dan mempertanggungjawabkan mereka yang melakukannya,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken dalam satu kenyataan berasingan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg