WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata beliau menarik diri daripada persaingan menentang Encik Donald Trump kerana bimbang akan masa depan negara.
Cara terbaik untuk bergerak ke depan ialah dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain, kata beliau dalam ucapan umum pertamanya sejak mengumumkan penarikan diri daripada pilihan raya presiden, di Pejabat Oval pada 24 Julai.
Encik Biden menyebut presiden terdahulu, Encik Thomas Jefferson, Encik George Washington dan Encik Abraham Lincoln, apabila beliau menyifatkan cintanya pada jawatan yang akan beliau tinggalkan dalam enam bulan, dan menamatkan tempoh setengah abad dalam jawatan awam.
“Saya menghormati jawatan ini. Tetapi saya lebih sayangkan negara saya,” tambahnya.
Encik Biden, 81 tahun, menepis tekanan berminggu-minggu daripada Demokrat supaya berundur selepas prestasi perbahasan buruknya pada 27 Jun, dengan menyatakan hanya tuhan boleh meyakinkannya supaya berundur.
Sebelum membuat keputusan itu, Encik Biden menyatakan beliau menghabiskan masa berhari-hari memikirkan tentang pengundian dalaman yang menunjukkan beliau boleh kalah kepada Encik Trump pada November dan mengheret rakan-rakan Demokrat bersamanya.
“Saya memutuskan bahawa cara terbaik untuk bergerak ke depan ialah dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain. Itu adalah cara terbaik untuk menyatukan negara kita,” ujarnya.
Beliau memuji Naib Presiden, Cik Kamala Harris, yang telah memperoleh cukup perwakilan Demokrat untuk menjadi calon Demokrat bagi menggantikan Encik Biden.
“Beliau tegas. Beliau berupaya. Beliau rakan luar biasa bagi saya dan seorang pemimpin luar biasa untuk negara kita,” kata Encik Biden.
Tanpa mengebut nama Encik Trump, Encik Biden membuat rujukan tentang bahaya yang beliau percaya dihadapi oleh rakyat Amerika jika Encik Trump memenangi pilihan raya pada 5 November.
Encik Biden Menurutnya, beliau berundur diri untuk membantu mengubati luka dalam Parti Demokrat dan menyatukan Demokrat dalam matlamat untuk menang.
Beliau berkata perkara hebat tentang Amerika ialah “di sini, raja dan diktator tidak memerintah”. Rakyat yang menentukannya. Sejarah dalam tangan anda. Kuasa dalam tangan anda. Idea Amerika terletak dalam tangan anda,” katanya.
Encik Biden adalah presiden pertama yang tidak bertanding semula sejak 1968, apabila Encik Lyndon Johnson, di bawah tekanan ketika mengendalikan Perang Vietnam, secara tiba-tiba menarik diri daripada kempen pada 31 Mac.
Beliau juga menyertai Encik James K. Polk, Encik James Buchanan, Encik Rutherford B. Hayes, Encik Calvin Coolidge dan Encik Harry Truman yang kesemuanya memutuskan tidak bertanding bagi penggal kedua.
Rumah Putih menafikan Encik Biden mempunyai sebarang masalah kognitif, walaupun terdapat peningkatan dalam kesilapan lisannya baru-baru ini.
Bagi baki enam bulannya sebagai presiden, beliau berikrar akan menjadikan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) lebih kuat dan bersatu, menghentikan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, daripada mengambil alih Ukraine, berusaha ke arah perjanjian gencatan senjata di Gaza, dan mendesak pembaharuan Mahkamah Agung. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg