Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden seru redakan ‘suhu politik’ susulan kemenangan besar Trump

Rakyat Amerika berhak terima peralihan kuasa aman, teratur; Biden telah bincang dengan bakal Presiden Trump untuk pastikan peralihan lancar 
Nov 8, 2024 | 10:19 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berucap dari Rose Garden di Rumah Putih, Washington DC, pada 7 November, susulan kemenangan Encik Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berucap dari Rose Garden di Rumah Putih, Washington DC, pada 7 November, susulan kemenangan Encik Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menyeru rakyat Amerika agar menurunkan “suhu politik” selepas kemenangan besar Encik Donald Trump, dalam pilihan raya menentang Cik Kamala Harris.

Dalam ucapan yang bernada damai dari Rumah Putih, Encik Biden memberi jaminan peralihan kuasa akan berlangsung secara aman dan tersusun, sambil menggesa rakyat supaya melihat antara satu sama lain sebagai rakan senegara, bukan musuh politik.

Dalam ucapannya pada 7 November, Encik Biden menyatakan keputusan pilihan raya kali ini sepatutnya “mengakhiri” sebarang keraguan terhadap kewibawaan sistem pilihan raya Amerika, merujuk kepada kontroversi yang dicetuskan oleh Encik Trump sebelum ini yang enggan menerima kekalahannya pada 2020.

“Apa yang saya harap kita boleh lakukan, tak kira siapa yang anda undi, adalah melihat satu sama lain bukan sebagai lawan tetapi sebagai sesama rakyat Amerika. Rendahkan suhu politik ini,” ujarnya.

Ketika tiba di Rose Garden, para kakitangan Encik Biden berdiri, bersorak, dan bertepuk tangan sebagai tanda sokongan kepada pemimpin mereka.

Encik Biden, 81 tahun, telah mengundurkan diri daripada persaingan pada Julai dan menyerahkan pencalonan parti Demokrat kepada naib presidennya, Cik Harris.

Beliau telah menghubungi Encik Trump untuk mengucapkan tahniah dan memastikan peralihan kuasa akan berlaku secara aman dan teratur.

Encik Biden menegaskan pada 20 Januari, Amerika akan menyaksikan peralihan kuasa yang aman – satu perkara yang tidak berlaku sewaktu Encik Trump menolak untuk hadir pada pelantikannya sebagai presiden sebelum ini.

Encik Biden turut mengingatkan penyokongnya agar tidak berputus asa, walau ada kemungkinan besar Encik Trump akan membatalkan pelbagai dasar yang diperkenalkan semasa era pentadbirannya.

“Ingatan saya, kekalahan bukan bererti kita kalah selamanya,” ujar beliau.

Ungkapan Encik Biden itu jauh berbeza daripada yang dibuat Encik Trump pada 2020 semasa enggan mengakui kekalahan sehingga tercetus kejadian rusuhan di Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.

Dalam satu langkah positif, Encik Biden turut mengundang Encik Trump agar bertemu di Rumah Putih, satu pertemuan yang akan menjadi pertemuan pertama mereka sejak debat yang diadakan sebelum ini yang menjadi titik perubahan bagi pencalonan Encik Biden.

Pemimpin dunia cepat memberi komitmen untuk bekerjasama dengan Encik Trump, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pendekatan nasionalis beliau yang tegas dengan dasar “utamakan Amerika dahulu”.

Presiden China, Encik Xi Jinping, dalam mesejnya kepada Encik Trump menyeru hubungan yang “stabil” antara kedua-dua negara besar itu.

Encik Xi turut menekankan kepentingan untuk mengekalkan kestabilan hubungan Amerika-China.

Encik Trump, yang kini berada di Mar-a-Lago, Florida, sedang sibuk membentuk pasukan peralihan bagi pentadbiran barunya yang dijangka membawa perubahan besar dalam landskap politik Amerika dan juga dunia.

Menurut kenyataan pasukan kempennya, Encik Trump dalam beberapa hari akan datang bakal memilih anggota yang akan menerajui pentadbiran di bawah kepimpinannya.

Salah seorang individu yang dijangka menyertai pasukan Encik Trump ialah Encik Robert F. Kennedy Jr, tokoh utama dalam gerakan antivaksin yang telah diberikan tanggungjawab besar dalam sektor kesihatan.

Encik Kennedy menyatakan meskipun beliau tidak akan “mengambil” vaksin daripada rakyat, pentadbiran Encik Trump mungkin mencadangkan penghapusan fluorida daripada bekalan air Amerika.

Encik Trump yang terkenal dengan sikap skeptikalnya terhadap perubahan iklim juga dijangka membatalkan dasar hijau Encik Biden dan kembali kepada eksplorasi minyak.

Dengan mandat yang besar daripada rakyat, ‘Trump 2.0’ bakal menyusun semula dasar Encik Biden termasuk kemungkinan menghentikan bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar kepada Ukraine.

Encik Trump sebelum ini menyatakan beliau mungkin akan mendesak Ukraine mencapai persetujuan damai dengan Russia.

Kemenangan Encik Trump kali ini menjadikannya presiden pertama yang merupakan bekas banduan dan juga individu tertua yang dipilih memegang jawatan tersebut.

Walaupun melalui kempen yang penuh kontroversi dan nyaris-nyaris terselamat daripada dua percubaan pembunuhan, Encik Trump akhirnya berjaya menewaskan Cik Harris yang mengambil alih pencalonan daripada Encik Biden.

Encik Trump memperoleh kemenangan besar, melebihi 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk memenangi Rumah Putih.

Beliau juga menjadi calon Republikan pertama untuk memenangi undi popular dalam tempoh dua dekad.

Presiden Terpilih itu kini mempunyai sokongan 295 perwakilan berbanding 226 yang memilih Cik Harris.

Negeri Nevada dan Arizona masih belum mengumumkan keputusan, namun kedua-duanya dijangka cenderung memihak kepada Encik Trump.

Encik Biden, yang mengharapkan kemenangan Cik Harris sebagai pewaris untuk memelihara legasi pentadbirannya, kini berhadapan dengan realiti kekalahan parti Demokrat yang sukar.

Bagi para pengundi yang menolak dasar ekonomi Encik Biden yang dibelenggu kadar inflasi tinggi, kemenangan Encik Trump menandakan kembalinya dasar konservatif yang tegar dalam pentadbiran Amerika. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg