WASHINGTON: Kemenangan Encik Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024, yang membawa beliau kembali ke Rumah Putih, telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin dunia.
Kemenangan itu bukan sahaja berpotensi mengubah landskap politik Amerika, malah membawa implikasi besar kepada hubungan antarabangsa, ekonomi sejagat dan keseimbangan kuasa dunia.
Pemimpin-pemimpin dunia cepat memberi reaksi terhadap keputusan yang mengejutkan itu.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, melihat kemenangan Encik Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika sebagai peluang baru, menekankan bahawa ia juga menandakan pengukuhan semula perikatan antara Israel dengan Amerika.
Di wadah media sosial X, Encik Netanyahu berkata: “Kembalinya anda ke Rumah Putih menawarkan permulaan baru bagi Amerika dan satu komitmen semula yang kuat terhadap perikatan hebat antara Israel dengan Amerika. Ini adalah kemenangan besar!”
Anggota Kabinetnya turut merayakan kemenangan Encik Trump.
Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, menulis di X, “Ya, Tuhan memberkati Trump,” sementara Menteri Kebudayaan, Encik Miki Zohar, menyatakan, “Kami menantikan empat tahun yang akan datang dengan penuh harapan”.
Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Mao Ning, dalam sidang media berkata China berharap akan wujudnya “kebersamaan yang aman” dengan Amerika.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, dalam kenyataannya melahirkan harapan bagi kerjasama berterusan antara Britain dengan Amerika, serta penekanan terhadap nilai bersama seperti kebebasan, demokrasi dan perdagangan.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menegaskan harapannya agar hubungan Perancis-Amerika akan terus berkembang di bawah kepimpinan baru itu.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, mengungkapkan penghargaan terhadap komitmen Encik Trump terhadap prinsip “keamanan melalui kekuatan” dalam hubungan sejagat.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dalam hantaran di X, berkata: “Semasa anda membina kejayaan dari penggal sebelumnya, saya berharap untuk memperbaharui kerjasama kita.”
Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutter, berkata kemenangan Encik Trump akan menguatkan lagi organisasi tersebut.
Pasaran kewangan turut memberi tindak balas terhadap kemenangan Encik Trump.
Nilai dolar Amerika melonjak 1.7 peratus, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Amerika di bawah kepimpinan Encik Trump.
Selain itu, hasil bon Bendahari Amerika 10 tahun mencatatkan kenaikan tertinggi dalam empat bulan, mencapai 4.47 peratus.
Ini menunjukkan bahawa pasaran melihat Encik Trump sebagai seorang pemimpin yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui dasar properniagaan dan pengurangan cukai.
Dalam dunia kripto, Bitcoin turut mencatat lonjakan harga yang luar biasa, mencecah paras tertinggi AS$75,060 ($99,916).
Kejayaan itu turut dikaitkan dengan sokongan Encik Elon Musk, yang rapat dengan kempen Encik Trump dan spekulasi bahawa Encik Trump mungkin memperkenalkan dasar yang lebih mesra kripto dalam pentadbirannya.
Reaksi pemimpin politik dunia dan pasaran itu diselangi dengan reaksi dalam kalangan penyokong Demokrat.
Di Universiti Howard, tempat Cik Kamala Harris merancang untuk berucap pada malam pilihan raya, suasana awalnya penuh dengan kegembiraan, namun, Cik Harris membatalkan ucapan di hadapan penyokongnya.
Apabila keputusan pilihan raya mula menunjukkan kemenangan Encik Trump, terutamanya dengan kemenangan di negeri penting seperti Pennsylvania, Georgia dan North Carolina, suasana kegembiraan mula pudar.
Ramai penyokong mula meninggalkan tempat tersebut, sementara skrin besar di luar menunjukkan tanda sokongan kepada Cik Harris yang semakin pudar di tengah-tengah kekosongan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg