WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, menyampaikan ucapan penuh emosi di Universiti Howard, Washington, pada 6 November setelah mengakui kekalahannya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika.
Dalam ucapannya, Cik Harris menegaskan bahawa walaupun beliau menerima keputusan pilihan raya yang dimenangi oleh Encik Donald Trump, beliau tidak akan berhenti berjuang demi prinsip-prinsip yang dipegang sepanjang kempen beliau.
“Dalam pilihan raya ini, saya mungkin kalah, tetapi perjuangan yang mendorong kempen ini tidak akan pernah padam,” kata Cik Harris kepada para penyokong yang hadir, ramai di antara mereka kelihatan menangis.
Cik Harris berjanji untuk terus memperjuangkan hak-hak wanita, menentang keganasan senjata api, dan memperjuangkan maruah yang seharusnya dimiliki setiap insan.
Cik Harris turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Encik Trump untuk mengucapkan tahniah dan komited untuk memastikan peralihan kuasa yang damai.
“Hasil pilihan raya ini bukanlah yang kita inginkan, bukan apa yang kita perjuangkan dan bukan apa yang kita undi. Namun, saya tegaskan, cahaya janji Amerika akan terus bersinar terang,” kata Cik Harris dengan tegas.
Suasana pada hari tersebut sangat berbeza dengan sambutan besar-besaran beberapa minggu sebelum ini di Universiti Howard, ketika ribuan pelajar dan alumni berkumpul dengan harapan agar Cik Harris menjadi graduan pertama dari institusi pendidikan bersejarah berkulit hitam (HBCU) yang memegang jawatan Presiden Amerika.
Dalam ucapannya, Cik Harris juga menekankan bahawa menerima kekalahan dalam pilihan raya adalah prinsip asas dalam demokrasi.
“Apabila kita kalah dalam pilihan raya, kita terima keputusan tersebut,” katanya, merujuk kepada isu pilihan raya yang sering dibangkitkan oleh Encik Trump sebelum ini.
“Prinsip ini membezakan demokrasi dari monarki atau kezaliman, dan sesiapa yang ingin mendapatkan kepercayaan rakyat mestilah menghormati prinsip ini,” tambahnya.
Ucapan Cik Harris itu turut dihadiri beberapa tokoh politik terkenal termasuk bekas Speaker Dewan Perwakilan, Cik Nancy Pelosi, dan beberapa pegawai dari Rumah Putih. Lagu Freedom nyanyian Beyonce berkumandang ketika Cik Harris melangkah ke pentas, menyemarakkan semangat para penyokong.
Penyokong Cik Harris, Cik Jamela Joseph, pelajar doktor falsafah berusia 31 tahun di Universiti Howard, menyuarakan kekecewaannya terhadap hasil pilihan raya itu.
“Amerika telah melepas peluang untuk maju secara progresif. Sebagai negara, kita menunjukkan bahawa kita masih dibelenggu dengan sejarah dan legasi ketuanan kulit putih,” kata Cik Joseph, menyesali sikap masyarakat Amerika yang dianggapnya masih tidak memberi layanan setara kepada kaum wanita dan minoriti.
Seorang lagi penyokongnya, Cik Donna Bruce, 72 tahun, berkata beliau hadir untuk menunjukkan penghargaan dan penghormatan kepada Cik Harris atas segala usaha dan pengorbanannya.
“Saya masih percaya bahawa seorang gadis kulit hitam akan menyelamatkan dunia. Mungkin bukan gadis ini, tetapi saya percaya akan ada yang melakukannya,” kata Cik Bruce.
Susulan ucapan Cik Harris, Presiden Joe Biden turut mengeluarkan kenyataan ringkas yang memuji kecekalan dan semangat juang Cik Harris.
“Apa yang dilihat oleh Amerika hari ini adalah Kamala Harris yang saya kenali dan sangat kagumi. Beliau adalah rakan dan penjawat awam yang luar biasa, penuh integriti, keberanian dan ketabahan,” kata Encik Biden.
Encik Biden turut menyatakan komitmennya untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar kepada Encik Trump, dengan mengundangnya untuk bertemu di Rumah Putih dalam masa terdekat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg