BAITULMAKDIS: Israel telah menyambung semula bekalan air ke selatan Gaza, kata Menteri Tenaga Israel Katz pada Ahad, selepas satu juta penduduk keluar daripada bahagian utara untuk menyelamatkan diri daripada serangan udara besar-besaran yang dilancarkan Israel.
“Ini akan mendorong penduduk awam ke selatan yang merupakan sebahagian daripada Jaluran Gaza,” kata Encik Katz dalam satu kenyataan.
Langkah itu diambil seminggu selepas Israel menghentikan bekalan air ke seluruh wilayah sebagai sebahagian daripada “pengepungan sepenuhnya” di kawasan pendudukan Palestin.
Beliau berkata keputusan untuk menyambung semula bekalan itu diambil selepas perbincangan antara Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.
Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan sebelum ini berkata bahawa Israel telah memaklumkan kepadanya bahawa mereka telah menyambung semula bekalan air di selatan Gaza.
“Saya telah berhubung dengan rakan sejawatan Israel saya dalam masa sejam terakhir dan melaporkan kepada saya bahawa mereka sebenarnya telah menyambung semula paip air di selatan Gaza,” kata Encik Sullivan kepada CNN.
Majlis Perbandaran Beni Suheila di selatan Gaza kemudian mengesahkan bahawa bekalan air telah disambung semula ke kawasan itu.
Israel memulakan serangan udara terhadap militan Hamas di Gaza selepas mereka melakukan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober yang menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh di Israel.
Serangan udara yang berterusan telah membunuh sekurang-kurangnya 2,450 orang di wilayah Palestin.
Dianggarkan satu juta orang telah kehilangan tempat tinggal dalam tujuh hari pertama konflik di Gaza, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberikan bantuan kepada para pelarian Palestin pada Ahad.
“Jumlah itu mungkin lebih tinggi apabila orang ramai terus meninggalkan rumah mereka,” kata pengarah komunikasi agensi tersebut, Cik Juliette Touma kepada pemberita.
Encik Biden sebelum ini berkata bahawa berkata rundingan sedang dijalankan dengan pemerintah di rantau itu mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, sedang rakyat Palestin mengalami gangguan elektrik dan kekurangan makanan dan air di tengah-tengah pengeboman hebat Israel.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus, dipetik sebagai berkata: “Kami akan musnahkan Hamas dan keupayaan ketenteraannya dan secara asasnya mengubah keadaan supaya Hamas tidak lagi berupaya mengakibatkan sebarang kerosakan kepada orang awam atau askar Israel.” – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg