Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biden, Trump kembali bersaing rebut jawatan presiden pada November

Mar 13, 2024 | 3:27 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kiri) dan Encik Donald Trump berjaya mendapat pencalonan daripada parti masing-masing, Demokrat dan Republikan, sekali gus merupakan pertandingan ulangan pertama dalam masa 70 tahun, dalam Pilihan Raya Presiden 2024 ini.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden (kiri) dan Encik Donald Trump berjaya mendapat pencalonan daripada parti masing-masing, Demokrat dan Republikan, sekali gus merupakan pertandingan ulangan pertama dalam masa 70 tahun, dalam Pilihan Raya Presiden 2024 ini. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dan mantan presiden, Encik Donald Trump, memenangi pencalonan parti masing-masing pada 12 Mac, sekali gus memulakan persaingan ulang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang pertama dalam tempoh hampir 70 tahun.

Encik Biden memerlukan 1,968 suara perwakilan untuk memenangi pencalonan dan beliau melepasi jumlah itu pada 12 Mac ketika keputusan mula masuk dari pertandingan utama di Georgia, menurut Edison Research.

Keputusan juga datang dari Mississippi, Washington, Kepulauan Mariana Utara dan anggota Demokrat yang tinggal di luar negara.

Beberapa jam kemudian, Encik Trump pula berhasil mendapatkan 1,215 suara perwakilan yang diperlukan untuk mendapat pencalonan presiden bagi parti Republikan.

Empat negeri mengadakan pertandingan termasuk Georgia, medan pertempuran di mana Encik Trump menghadapi tuduhan jenayah atas usahanya untuk membatalkan keputusan 2020 negeri itu.

Terdapat 161 perwakilan dipertaruhkan pada 12 Mac di Georgia, Hawaii, Mississippi dan Washington.

Encik Biden, 81 tahun, mengeluarkan kenyataan setelah mendapat pencalonan parti Demokrat, dengan menyasarkan apa yang disebutnya sebagai “kempen kebencian, dendam dan pembalasan yang mengancam idea Amerika”.

“Pengundi kini mempunyai pilihan bagi menentukan masa depan negara ini. Adakah kita akan bangkit dan mempertahankan demokrasi kita, atau membiarkan orang lain meruntuhkannya?

“Adakah kita akan mengembalikan hak untuk memilih dan melindungi kebebasan kita atau membiarkan pelampau mengambilnya?” kata beliau.

Keputusan pengundian 12 Mac itu pada dasarnya telah dijangkakan selepas saingan terakhir Encik Trump untuk pencalonan Republikan, mantan Duta Besar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Cik Nikki Haley, menamatkan kempen presidennya berikutan prestasi dominan Encik Trump minggu lalu, pada Super Tuesday apabila beliau memenangi 14 daripada 15 pertandingan negeri.

“Kami akan menggerudi, iya menggerudi. Kami akan menutup sempadan kami. Kami akan melakukan perkara seperti yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa sebelum ini. Dan kami akan menjadikan ekonomi negara kita yang terbaik di dunia,” kata Encik Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg