LONDON: Bilangan hari dengan suhu mencecah 35 darjah Celsius di 20 ibu kota terbesar dunia – dari Delhi ke Jakarta ke Buenos Aires – telah meningkat 52 peratus dalam tempoh tiga dekad yang lalu, menurut analisis kumpulan pemikir yang ditemui pada 28 Jun.
Lebih 300 juta orang tinggal di 20 ibu kota paling ramai penduduk di dunia terdedah kepada peningkatan suhu yang didorong oleh perubahan iklim, kerana asfalt dan bangunan menyerap dan mengekalkan haba.
Ibu kota termasuk Delhi, Dhaka dan Manila telah pun dilanda gelombang panas berbahaya pada 2024 – membawa kepada beberapa kematian berkaitan haba dan penutupan sekolah.
Delhi sahaja mencatatkan gelombang haba terpanjang dan paling teruk dalam tempoh 74 tahun, mencatatkan 39 hari berturut-turut dengan suhu maksimum pada atau melebihi 40 darjah Celsius, dari 14 Mei hingga 21 Jun, menurut data stesen cuaca.
Kini, analisis oleh Institut Antarabangsa bagi Alam Sekitar dan Pembangunan (IIED) yang berpangkalan di London mengukur ancaman haba melampau yang semakin meningkat di beberapa pusat bandar terbesar di dunia.
Menggunakan data suhu permukaan dari stesen cuaca lapangan terbang, para penyelidik mendapati bahawa dari 2014 hingga 2023, terdapat hampir 6,500 hari terkumpul, atau berlaku kejadian, apabila salah satu daripada 20 bandar mencapai suhu 35 darjah Celsius atau lebih tinggi.
Dalam dekad dari 1994 hingga 2003, terdapat hanya 4,755 hari.
“Kami tahu bahawa cuaca panas tidak dirasai secara serata di seluruh bandar,” kata penyelidik IIED, Encik Tucker Landesman.
“Beberapa kejadian haba yang melampau lebih berkemungkinan berlaku di beberapa kejiranan dan daerah komersial.
“Ini terikat dengan ketidaksamaan dan cara kita melakukan reka bentuk bangunan dan infrastruktur awam,” tambah beliau.
Jakarta mengalami peningkatan mutlak terbesar dalam bilangan hari, melebihi 35 darjah Celsius, daripada 28 hari antara 1994 dengan 2003 kepada 167 dalam dekad terkini; Seoul, daripada sembilan hari kepada 58 hari; manakala Buenos Aires meningkat daripada tujuh hari kepada 35. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg