Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang haba korbankan ribuan, berjuta lagi mandi peluh di serata dunia

Jun 21, 2024 | 2:12 PM
panas
Seorang pekerja pembinaan minum air semasa bekerja di bawah cuaca panas di Pristina, Kosovo, pada 19 Jun. - Foto REUTERS

LONDON: Gelombang haba yang membawa maut melanda bandar-bandar di empat benua ketika Hemisfera Utara memasuki hari pertama musim panas.

Ia satu petanda bahawa perubahan iklim sekali lagi dapat menjana haba memecahkan rekod yang boleh mengatasi musim panas lalu sebagai yang paling panas dalam masa 2,000 tahun.

Rekod suhu dalam beberapa hari kebelakangan ini disyaki telah menyebabkan ratusan, malahan ribuan kematian di serata Asia dan Eropah.

Menurut laporan, di Arab Saudi, hampir dua juta anggota jemaah menunaikan ibadah haji di Masjidil Haram di Makkah – lebih 1,000 maut di tengah-tengah suhu melebihi 51 darjah Celsius.

Sumber perubatan dan keselamatan Mesir memberitahu agensi berita, Reuters, pada 20 Jun bahawa sekurang-kurangnya 530 rakyat Mesir meninggal dunia semasa mengerjakan haji – meningkat daripada 307 dilaporkan setakat 19 Jun.

Lagi 40 orang dilaporkan masih hilang.

Negara-negara di sekitar Mediterranean juga telah mengalami suhu tinggi – menyumbang kepada kebakaran hutan dari Portugal ke Greece dan di sepanjang pantai utara Afrika di Algeria, lapor Balai Cerap Bumi Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat.

Di Serbia, pakar meteorologi meramalkan suhu sekitar 40 darjah Celsius minggu ini apabila angin dari Afrika Utara mendorong kawasan panas merentasi Balkan.

Pihak berkuasa kesihatan mengisytiharkan amaran cuaca merah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar rumah.

Perkhidmatan kecemasan Belgrade berkata doktornya campur tangan 109 kali semalaman untuk merawat pesakit jantung dan penyakit kronik.

Di negara jiran Montenegro, pihak berkuasa kesihatan turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berada di tempat teduh sehingga lewat petang, sementara puluhan ribu pelancong mencari kesegaran di pantai di sepanjang pantai Adriatik.

Eropah pada 2024 ini telah berdepan kejadian beberapa pelancong meninggal dunia dan hilang di tengah-tengah bahang cuaca yang berbahaya.

Seorang warga Amerika berusia 55 tahun ditemui mati di pulau Mathraki di Greece, kata polis pada 17 Jun – kematian pelancong ketiga seumpama itu dalam seminggu.

Sebilangan besar bahagian timur Amerika juga layu untuk hari keempat berturut-turut di bawah kubah haba, fenomena yang berlaku apabila sistem tekanan tinggi yang kuat memerangkap udara panas di kawasan serantau, menghalang udara sejuk daripada masuk dan ini menyebabkan suhu di bumi menjadi kekal tinggi.

Bandar New York membuka pusat penyejukan kecemasan di perpustakaan, pusat warga emas dan kemudahan lain.

Ketika sekolah-sekolah di bandar itu beroperasi seperti biasa, beberapa daerah di pinggir bandar mengarahkan para pelajar pulang awal bagi mengelakkan cuaca panas.

Pihak berkuasa meteorologi turut mengeluarkan amaran haba berlebihan untuk bahagian Arizona, termasuk Phoenix, pada 20 Jun, dengan suhu dijangka mencecah 45.5 darjah Celsius.

Menurut pihak berkuasa, di wilayah berdekatan New Mexico, dua kebakaran hutan yang cepat merebak memburukkan lagi keadaan, membunuh dua orang, memusnahkan lebih 23,000 ekar kawasan serta sekitar 500 rumah.

Hujan lebat boleh membantu meredakan kebakaran, tetapi ribut petir pada 20 Jun juga menyebabkan banjir kilat dan menyukarkan usaha memadam kebakaran.

Secara purata di seluruh dunia, gelombang haba yang akan berlaku sekali dalam 10 tahun dalam iklim praindustri, kini akan berlaku 2.8 kali ganda dalam tempoh 10 tahun.

Ia akan mencatat 1.2 darjah Celsius lebih panas, lapor pasukan saintis antarabangsa di bawah kumpulan World Weather Attribution (WWA). – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg