Seramai 691,100 warga Singapura berkunjung ke Jepun pada 2024, iaitu bilangan pecah rekod, menurut Pejabat Singapura Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun (JNTO) baru-baru ini.
Ini merupakan peningkatan 16.9 peratus berbanding 2023 dengan bilangannya mencecah 591,300 – bilangan pecah rekod juga bagi tahun tersebut.
Menurut JNTO, peningkatan itu disebabkan dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding yen Jepun, menjadikan perjalanan ke negara itu lebih dimampui.
Selain itu, terdapat juga pengenalan perkhidmatan penerbangan baru antara kedua-dua negara.
Daripada bilangan keseluruhan pengunjung, seramai 136,200 berkunjung ke Jepun pada Disember, dan ini merupakan peningkatan 19.8 peratus berbanding Disember 2023.
Mengulas tentang perangkaan itu, pengarah eksekutif pejabat Singapura JNTO, Encik Takuya Shiraishi, meluahkan penghargaan kepada semua warga Singapura yang berkunjung ke Jepun, menjadikan ia tahun pecah rekod.
Beliau berkata pada 2025, Jepun dijangka menyambut lebih ramai pengunjung dengan adanya Ekspo Dunia yang sangat dinanti-nantikan di Osaka dari April hingga Oktober.
“Sambil akur akan pelancongan berlebihan, JNTO akan terus memperkukuh usaha promosinya untuk memacu perjalanan ke kawasan serantau Jepun,” tambahnya.
Jepun bergelut dengan terlampau ramai pelancong hinggakan beberapa bandar menetapkan langkah-langkah bagi menangani keadaan tersebut.
Kyoto pada 14 Januari mengumumkan rancangan untuk menaikkan cukai penginapan hotel.
Pendaki Gunung Fuji juga perlu membayar tambang antara 3,000 yen ($26) dengan 5,000 yen mulai musim panas ini jika mereka memanjat gunung dari Wilayah Shizuoka.
Pendaki Gunung Fuji yang bermula dari Wilayah Yamanashi sudah pun membayar sekurang-kurangnya 2,000 yen.
Sebagai sebahagian usaha promosinya, JNTO telah memperkenalkan etika perjalanan masa depan yang merupakan panduan bagi menggalak akhlak yang baik dalam kalangan pengunjung ke Jepun, antaranya ialah supaya bertimbang rasa apabila bergambar, jauhi hartanah privet dan tidak membuang sampah merata.
“Dengan menghormati warga, sekitaran tempatan dan pelancong lain, pelancong boleh menyumbang kepada pemeliharaan warisan kebudayaan dan semula jadi Jepun,” menurut kenyataan media JNTO.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg