Bill Gates akui menyesal setiap minit hubungan dengan Epstein
Bill Gates akui menyesal setiap minit hubungan dengan Epstein
SYDNEY: Pengasas bersama Microsoft dan dermawan bilionair, Bill Gates, meluahkan penyesalan terhadap setiap minit yang pernah diluangkan bersama Jeffrey Epstein, ketika bekas isterinya, Melinda French Gates, menegaskan masih terdapat persoalan yang perlu dijawab mengenai hubungan Encik Gates dengan pesalah seksual yang telah disabitkan kesalahan itu.
Perkembangan terbaru itu tercetus susulan pendedahan dokumen baharu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mengandungi e-mel dan rekod komunikasi antara Epstein dengan pelbagai tokoh berprofil tinggi. Dokumen berkenaan mendedahkan gambaran hubungan rapat, urusan kewangan mencurigakan serta foto peribadi, sekali gus menghidupkan semula kontroversi lama berkaitan rangkaian sosial Epstein.
Dalam satu draf e-mel yang ditemui dalam timbunan dokumen itu, Epstein mendakwa Encik Gates terlibat dalam hubungan luar nikah. Epstein mendakwa hubungannya dengan Encik Gates melibatkan pelbagai tuduhan serius, termasuk dakwaan bahawa beliau membantu Gates mendapatkan dadah untuk menangani kesan hubungan seksual dengan wanita dari Russia, serta memudahkan pertemuan sulit Gates dengan wanita yang telah berkahwin.
Encik Gates menafikan dakwaan tersebut secara keras. “Setiap minit yang saya luangkan bersamanya, saya menyesal, dan saya memohon maaf,” katanya dalam temu bual bersama 9News Australia yang disiarkan pada Rabu, 4 Februari.
Beliau menegaskan draf emel berkenaan tidak pernah dihantar dan kandungannya adalah palsu. “Emel itu tidak pernah dihantar. Emel itu tidak benar,” katanya. “Saya tidak tahu apa pemikiran dia ketika menulisnya. Adakah dia cuba menyerang saya dengan cara tertentu?”
Seorang jurucakap Encik Gates turut mengeluarkan penafian serupa selepas pendedahan berjuta-juta fail berkaitan siasatan Epstein, yang meninggal dunia akibat bunuh diri di penjara pada 2019. Menurut jurucakap itu, dokumen-dokumen berkenaan hanya menunjukkan “kekecewaan Epstein kerana tidak mempunyai hubungan berterusan dengan Gates dan sejauh mana beliau sanggup bertindak untuk memerangkap serta memfitnah”.
Dalam temu bual berasingan bersama Radio Awam Nasional (NPR), bekas isteri Encik Gate, Cik Melinda French Gates berkata pendedahan dokumen itu mengimbau kembali “kenangan yang sangat menyakitkan” dalam perkahwinannya. “Bagi saya secara peribadi, ia amat sukar setiap kali butiran seperti ini muncul,” katanya.
Beliau menambah, masih terdapat persoalan yang perlu dijawab. “Apa sahaja persoalan yang masih wujud tentang apa yang berlaku – saya sendiri tidak tahu sepenuhnya – persoalan itu adalah untuk mereka yang terlibat, termasuk bekas suami saya,” katanya. “Mereka yang perlu menjawabnya, bukan saya.”
Encik Bill Gates dan Cik Melinda French Gates bercerai pada 2021 selepas lebih dua dekad berkahwin, satu perpisahan yang ketika itu turut dikaitkan dengan laporan mengenai hubungan Encik Gates dengan Epstein.
Dalam temu bual dengan 9News, Encik Gates menjelaskan bahawa beliau pertama kali bertemu Epstein pada 2011 dan menghadiri beberapa makan malam bersama individu itu dalam tempoh tiga tahun berikutnya. Namun, katanya, beliau tidak pernah mengunjungi pulau Caribbean milik Epstein dan tidak pernah terlibat dalam hubungan dengan wanita seperti yang didakwa.
“Fokus ketika itu adalah kerana dia mengenali ramai individu kaya dan mendakwa boleh meyakinkan mereka untuk menyumbang kepada usaha kesihatan global,” kata Encik Gates. “Apabila dilihat semula, ia adalah satu jalan buntu.”
Kenyataan itu selari dengan penjelasan sebelum ini bahawa Encik Gates melihat Epstein sebagai saluran berpotensi untuk mengumpulkan dana bagi projek kebajikan, khususnya dalam bidang kesihatan global, sebelum menyedari bahawa hubungan tersebut tidak membawa hasil seperti yang diharapkan.
Pendedahan dokumen oleh Jabatan Kehakiman Amerika itu tidak bermaksud mana-mana individu yang dinamakan telah melakukan kesalahan jenayah. Namun, dokumen berkenaan telah mendedahkan rangkaian hubungan Epstein dengan tokoh awam yang sebelum ini sering mengecilkan atau menafikan hubungan mereka dengannya.
Dalam konteks ini, nama Encik Gates muncul semula sebagai antara tokoh paling berprofil tinggi yang dikaitkan dengan Epstein, sekali gus mencetuskan semula perbahasan awam mengenai akauntabiliti, kuasa dan pengaruh dalam kalangan elit global.
Penganalisis berpendapat, kesan utama pendedahan itu bukan sahaja terhadap reputasi individu, tetapi juga terhadap persoalan lebih luas tentang bagaimana Epstein mampu membina dan mengekalkan rangkaian hubungan dengan tokoh berpengaruh walaupun telah disabitkan kesalahan seksual.
Walaupun Encik Gates menyatakan penyesalan terbuka dan menafikan sebarang salah laku, kenyataan Cik Melinda French Gates menunjukkan bahawa isu tersebut masih belum tertutup sepenuhnya dalam ruang awam. Penegasan beliau bahawa “soalan-soalan itu perlu dijawab oleh mereka yang terlibat” mencerminkan tekanan berterusan terhadap tokoh-tokoh yang pernah mempunyai kaitan dengan Epstein.
Bagi Encik Gates, penjelasan terbaharu ini adalah usaha untuk menjarakkan dirinya secara jelas daripada Epstein dan dakwaan yang menyelubungi individu itu. Namun, selagi dokumen baharu terus didedahkan dan diteliti, hubungan lampau tersebut dijangka kekal menjadi perhatian, bukan sahaja terhadap Gates, tetapi juga terhadap rangkaian elit global yang pernah berada dalam orbit Epstein. - Agensi berita

