Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bimbang perang meluas dorong penduduk Lebanon pindah, cari perlindungan

Jan 5, 2024 | 2:31 PM
BIMBANG PERTEMPURAN MELUAS: Para penduduk mengiringi pengebumian timbalan pemimpin Hamas, Encik Saleh al-Arouri, yang terbunuh dalam serangan dron, untuk dikebumikan di Beirut pada 4 Januari. Pembunuhan Encik Arouri dibimbangi petanda baru perang hampir tiga bulan itu merebak jauh ke luar Gaza.
BIMBANG PERTEMPURAN MELUAS: Para penduduk mengiringi pengebumian timbalan pemimpin Hamas, Encik Saleh al-Arouri, yang terbunuh dalam serangan dron, untuk dikebumikan di Beirut pada 4 Januari. Pembunuhan Encik Arouri dibimbangi petanda baru perang hampir tiga bulan itu merebak jauh ke luar Gaza. - Foto EPA-EFE

BEIRUT: Pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Beirut, ibu kota Lebanon, menimbulkan kebimbangan meningkatkan pertempuran yang lebih luas di sempadan negara itu dengan Israel.

Ekorannya, banyak kampung yang terletak di selatan Lebanon telah pun dikosongkan dengan para penduduk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Pertempuran semakin sengit antara Israel dan Hezbollah, kumpulan militan yang menguasai sebahagian besar selatan Lebanon, sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan pengeboman dan serangan balas Israel berikutnya ke atas Gaza.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel telah memindahkan lebih daripada 80,000 orang di sebelah sempadannya dengan Lebanon, manakala di Lebanon menyaksikan pemindahan hampir 75,000 orang.

Seorang penduduk, Encik Imad Zayton, seorang penyokong Hezbollah berusia 60 tahun yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya di bandar Deir Kifa di selatan Lebanon, setakat ini belum berhasrat untuk berpindah, lapor The New York Times.

Ini di sebalik ketegangan antara Israel dengan Lebanon yang semakin memuncak berikutan kematian timbalan pemimpin tertinggi Hamas, Encik Saleh al-Arouri, dalam satu serangan dron di Beirut pada 2 Januari.

“Hezbollah sedang mempertahankan negara saya,” kata Encik Imad sambil menambah bahawa keluarganya akan berpindah jika keadaan menjadi lebih buruk.

Bilangan orang yang dipindahkan akibat pertempuran telah meningkat setiap hari, menurut Encik Hassan Hamoud, yang membantu menguruskan pemindahan penduduk di bandar Tyre.

Menurutnya, pemerintah Lebanon yang telah dilanda krisis kewangan ekoran masalah rasuah dan salah urus selama bertahun-tahun, telah menawarkan sedikit sokongan kepada para penduduk terjejas.

Datuk Bandar Aita al-Shaab, Encik Mohamad Srour, juga masih bertahan ketika orang ramai beransur-ansur meninggalkan kawasan yang mempunyai 12,000 orang penduduk.

Menurutnya, 10 orang dari bandar itu telah terbunuh sejak pertempuran di sempadan bermula dan peningkatan yang berlaku meyakinkannya bahawa beliau juga harus berpindah kelak.

Encik Najib al-Amil, seorang paderi di Rmeish, sebuah bandar Kristian Maronit berhampiran sempadan Israel, menyatakan beliau masih bertahan meskipun ramai penduduk lain telah melarikan diri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg