BEIRUT/KAHIRAH/GAZA: Tentera Israel telah membunuh timbalan pemimpin Hamas, Encik Saleh al-Arouri dalam serangan dron di Beirut, ibu negara Lebanon, pada 2 Januari. Ekorannya, sumber keselamatan Lebanon dan Palestin memberi amaran bahawa pembunuhan itu boleh meningkatkan potensi risiko merebaknya perang Gaza yang lebih luas kelak.
Seorang pegawai keselamatan peringkat tinggi memberitahu AFP, Encik Saleh terbunuh bersama pengawal peribadinya dalam serangan oleh Israel, yang berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.
Encik al-Arouri, 57 tahun, adalah pemimpin kanan politik Hamas pertama yang dibunuh sejak Israel melancarkan serangan balas – udara dan darat – selepas kumpulan militan itu menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 dan menahan 240 tebusan.
Kumpulan Hezbollah, sekutu Hamas, telah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan Israel merentasi sempadan selatan Lebanon sejak perang di Gaza bermula.
Pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, telah memberi amaran kepada Israel agar tidak melakukan sebarang pembunuhan di bumi Lebanon, sambil berikrar akan “reaksi yang teruk”.
Hezbollah berkata pihaknya telah menyasarkan sekumpulan askar Israel di sekitar Marj dengan peluru berpandu, berikutan pembunuhan tersebut.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan yang akan meningkatkan konflik berikutan pembunuhan tersebut, lapor agensi berita Anadolu.
“Setiausaha Agung menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan dan mengambil langkah segera meredakan ketegangan di rantau itu,” kata jurucakap PBB, Cik Florencia Soto Nino pada sidang media.
Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati, mengeluarkan kenyataan mengutuk letupan di pinggir selatan ibu negara Beirut yang membunuh seorang pemimpin kanan Hamas, menyifatkannya sebagai “jenayah baru Israel”.
Israel telah lama menuduh Encik Arouri melakukan serangan maut ke atas rakyatnya, tetapi seorang pegawai Hamas berkata beliau juga “di tengah-tengah rundingan” yang dijalankan oleh Qatar dan Mesir berhubung perang Gaza dan pembebasan tebusan Israel yang ditahan Hamas.
Sejurus sebelum pembunuhan Encik Arouri, pemimpin tertinggi Hamas, Encik Ismail Haniyeh, berkata pergerakan itu telah menyampaikan responsnya kepada cadangan gencatan senjata Mesir-Qatar.
Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan melakukan pembunuhan itu, tetapi jurucakap tenteranya, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata bahawa tentera Israel berada dalam keadaan bersiap siaga terhadap sebarang senario.
“Perkara paling penting untuk diperkatakan malam ini ialah kami fokus dan kekal fokus untuk memerangi Hamas,” katanya ketika ditanya wartawan mengenai laporan pembunuhan Encik Arouri.
Israel juga telah menuduh Encik Arouri, pengasas bersama sayap tentera Hamas, Briged Izz-el-Deen al-Qassam, mengarahkan dan menyelia serangan Hamas di Tebing Barat yang diduduki Israel selama bertahun-tahun.
“Saya sedang menunggu syahid (kematian) dan saya rasa saya telah hidup terlalu lama,” kata Encik Arouri pada Ogos 2023, merujuk kepada ancaman Israel untuk menghapuskan pemimpin Hamas sama ada di dalam atau di luar Gaza.
Encik Nasser Kanaani, jurucakap Kementerian Luar Iran, penyokong utama Hamas dan Hezbullah, berkata pembunuhan Encik Arouri “sudah pasti akan mencetuskan satu lagi gelombang penentangan dan motivasi untuk memerangi penjajah Zionis, bukan sahaja di Palestin tetapi juga di rantau ini”.
Beratus-ratus rakyat Palestin turun ke jalan raya di Ramallah dan bandar lain di Tebing Barat untuk mengutuk pembunuhan Encik Arouri, sambil melaungkan, “Balas dendam, balas dendam, Qassam!”
Kementerian kesihatan Gaza berkata 207 orang telah terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah kematian Palestin yang dicatatkan kepada 22,185 dalam hampir tiga bulan perang di Gaza.
Pengeboman berterusan Israel menyebabkan 2.3 juta penduduk Gaza dilanda bencana kemanusiaan dengan beribu-ribu orang terlantar dan diancam kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.
Israel selama ini mendakwa Hamas telah menggunakan orang awam sebagai perisai, satu tuduhan yang dinafikannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg