MANILA: Biro Siasatan Kebangsaan (NBI) Filipina mengesyorkan tuduhan jenayah dikenakan terhadap Naib Presiden, Cik Sara Duterte, berhubung ancaman untuk membunuh Presiden Ferdinand Marcos Jr dan yang lain, kata ketua agensi itu pada 12 Februari.
“Kami akhirnya mengesyorkan pemfailan tuduhan menghasut dan ancaman serius terhadap naib presiden,” kata Pengarah NBI, Encik Jaime Santiago, kepada penyiar radio DZBB dalam satu temu bual.
Menurutnya, usul itu dikemukakan kepada Kementerian Kehakiman, yang kemudian akan memutuskan sama ada ia perlu menjalankan siasatan awal.
Cik Duterte, dalam ulasan ringkas yang dihantar melalui pegawai medianya, berkata syor NBI itu adalah “seperti yang dijangkakan”.
Kes itu berpunca daripada kenyataan Cik Duterte pada November bahawa beliau telah bercakap dengan seorang pembunuh upahan, dan Cik Duterte dikatakan mengarahkannya supaya membunuh Encik Marcos, isterinya dan sepupunya, speaker Dewan Filipina.
Namun, beliau menafikan dakwaan mengancam mereka dan mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak membuat ugutan sedemikian.
Naib presiden itu telah terlibat dalam perbalahan lama dengan bekas sekutu Marcos.
Beliau menghadapi aduan pemecatan berasingan berhubung ancaman yang dibuatnya dan kerana didakwa menyalahgunakan dana awam semasa berkhidmat sebagai naib presiden dan menteri pendidikan.
Kempen pilihan raya separuh penggal di Filipina telah bermula dengan tumpuan diberikan kepada keputusan Senat yang boleh menentukan masa depan politik Cik Duterte selepas pemecatannya kelak.
Pilihan raya yang dijadualkan pada 12 Mei, akan menyaksikan lebih 18,000 kerusi dipertandingkan.
Namun, tumpuan utama diberikan kepada 12 kerusi Senat yang bakal memainkan peranan penting dalam perbicaraan kes pemecatan Cik Duterte.
Cik Duterte, anak sulung mantan Presiden Encik Rodrigo Duterte, disingkirkan oleh Dewan Perwakilan atas tuduhan melanggar perlembagaan, rasuah serta pengkhianatan amanah awam.
Keputusan muktamad terletak pada Senat dan 16 daripada 24 senator perlu menyokong pemecatan Cik Duterte dan sekali gus menghalangnya daripada bertanding bagi jawatan politik termasuk jawatan presiden.
Ketegangan semakin meningkat apabila kejadian berkaitan pilihan raya mula dilaporkan termasuk tembakan terhadap calon tempatan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg