Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen pilihan raya Filipina bermula di tengah isu pemecatan Naib Presiden

Feb 11, 2025 | 4:27 PM
Seorang lelaki berbasikal melewati dinding penuh poster kempen calon senator Erwin Tulfo pada hari pertama tempoh kempen untuk pilihan raya pertengahan tempoh 12 Mei, di Manila, Filipina, 11 Februari
Seorang lelaki berbasikal melewati dinding penuh poster kempen calon senator Erwin Tulfo pada hari pertama tempoh kempen untuk pilihan raya pertengahan tempoh 12 Mei, di Manila, Filipina, 11 Februari - Foto REUTERS

MANILA: Kempen pilihan raya tempoh pertengahan tempoh di Filipina bermula pada 11 Februari di tengah-tengah pergolakan politik yang semakin panas, susulan pemecatan ke atas Naib Presiden Sara Duterte yang diumumkan pada 5 Februari lalu.

Pemecatan ini boleh menyebabkan Cik Duterte disingkirkan daripada jawatan dan diharamkan seumur hidup daripada memegang jawatan awam, menjadi bukti keretakan hubungan antara beliau dan Presiden Ferdinand Marcos Jr.

Mereka dahulu meruoakan sekutu rapat yang memenangi pilihan raya besar-besaran pada 2022, kini berada di dua kem yang bertelagah.

Pilihan raya pertengahan ini bukan sekadar memilih wakil rakyat, tetapi juga menjadi medan kuasa antara dua kem politik berpengaruh ini.

Perebutan utama ialah 12 kerusi Senat daripada keseluruhan 24 kerusi, di mana Senat mempunyai kuasa besar dalam menentukan nasib Cik Duterte yang dijangka berlangsung pada Jun.

“Pilihan raya ini adalah referendum terhadap kepimpinan Marcos. Namun bagi Duterte, ini soal hidup mati politiknya,” kata Encik Ronald Llamas, penganalisis politik dan bekas penasihat presiden.

Untuk Cik Duterte disingkirkan, sekurang-kurangnya 16 senator mesti mengundi untuk menyokong pemecatan. Pertempuran kempen bagi kerusi Senat ini menyaksikan sekutu Marcos dan Duterte saling bersaing untuk memastikan dominasi politik masing-masing.

Pemecatan Duterte turut mencabar kedudukan dinasti politik keluarganya yang melonjak selepas bapanya, Encik Rodrigo Duterte, memenangi pilihan raya presiden pada 2016.

Encik Rodrigo, yang masih menjadi figura politik penting, kini bertanding sebagai Datuk Bandar Davao City, dengan dua anak lelakinya juga bertanding di bandar yang sama untuk jawatan Timbalan Datuk Bandar dan ahli Kongres.

Kontroversi terbaru ini tercetus pada 5 Februari apabila Dewan Rendah, yang dipimpin oleh Speaker Martin Romualdez, sepupu Marcos, memfailkan pemecatan terhadap Sara Duterte.

Tuduhan termasuk penyelewengan bajet, kekayaan luar biasa, dan ancaman terhadap nyawa Wanita Pertama, serta Encik Romualdez.

Cik Duterte menafikan semua tuduhan ini, sementara Encik Marcos menyatakan beliau tidak menyokong pemecatan terhadap bekas sekutunya itu.

Penganalisis menyifatkan pemecatan ini sebagai langkah strategik untuk melemahkan kedudukan Cik Duterte dalam persaingan pilihan raya presiden 2028.

“Jika Sara disabitkan, ia membuka peluang untuk Marcos mengawal siapa yang akan menjadi pengganti beliau,” kata Encik Llamas.

Pilihan raya ini juga akan menentukan sama ada kem Marcos mampu mengekalkan penguasaan legislatif untuk menyokong agenda pentadbirannya atau sama ada kem Duterte masih mampu bertahan sebagai kuasa politik yang relevan.

“Ini bukan sekadar soal siapa yang memenangi pilihan raya. Ia adalah pertarungan dua kem yang dahulu bergabung untuk kemenangan bersejarah pada 2022, tetapi kini saling menyerang seperti drama bersiri Netflix,” tambah Encik Llamas.

Menyimpulkan suasana pilihan raya ini, EncikLlamas berkata: “Pertempuran ini lebih daripada sekadar pilihan raya. Ia tentang siapa yang akan mengawal hala tuju masa depan politik Filipina.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg