TEL AVIV: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, tiba di Israel pada 22 Oktober, persinggahan pertama jelajah Timur Tengah yang bertujuan menghidupkan semula rundingan gencatan senjata Gaza dan membincangkan masa depan wilayah Palestin itu.
Kunjungan itu dibuat berikutan kematian pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, tetapi sebarang kejayaan menjelang pilihan raya Amerika kelihatan sukar dijangkakan.
Lawatan ke-11 beliau ke rantau itu sejak Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza juga dilakukan ketika tentera Israel meningkatkan kempen ketenteraannya di wilayah Palestin dan juga di Lebanon bagi memerangi Hezbollah.
Perjalanan selama seminggunya yang juga termasuk persinggahan di Jordan dan Doha, Qatar, juga ketika rantau itu bersedia menghadapi tindak balas Israel terhadap serangan peluru berpandu balistik dari Iran pada 1 Oktober.
Tindakan balas Israel itu dibimbangi boleh menjejas pasaran minyak dunia dan berisiko mencetuskan perang lebih besar kelak.
Mengenai Gaza, Encik Blinken dijangka menumpukan perbincangan mengenai cara menamatkan perang, rancangan pascaperang dan bagaimana menambah baik bantuan kemanusiaan, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara yang tidak mahu namanya disebutkan.
Terdahulu, Encik Blinken dan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, telah menulis kepada pegawai Israel bagi menuntut langkah konkrit dalam menangani keadaan yang semakin buruk di Gaza, atau menghadapi kemungkinan sekatan terhadap bantuan ketenteraan Amerika.
Pegawai itu berkata dalam pertemuannya dengan Israel dan negara-negara Arab, Encik Blinken akan meninjau isu “hari kemudian”, khususnya keselamatan, tadbir urus dan pembinaan semula.
Rancangan terperinci untuk setiap isu itu dilihat sebagai prasyarat untuk mencapai sebarang penyelesaian konflik.
Encik Blinken juga akan berbincang dengan Israel dan negara lain bagaimana untuk merungkai penyelesaian diplomatik bagi konflik dengan Hezbollah, dan mengenai tindak balas Israel terhadap serangan peluru berpandu Iran, kata pegawai itu lagi.
Pakar berkata Hamas dan Israel kekal berselisih dan tidak mungkin membuat konsesi yang ketara sebelum pilihan raya presiden Amerika pada 5 November, yang boleh mengubah dasar Amerika. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg