Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembunuhan Sinwar mungkin hidupkan rundingan gencatan senjata

Oct 18, 2024 | 2:08 PM
Para penunjuk perasaan di Tel Aviv memegang sepanduk yang merujuk kepada pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, selepas Israel mengumumkan ia telah membunuhnya di Gaza.
Para penunjuk perasaan di Tel Aviv memegang sepanduk yang merujuk kepada pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, selepas Israel mengumumkan ia telah membunuhnya di Gaza. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Pengumuman Israel mengenai pembunuhan pemimpin Hamas, ENcik Yahya Sinwar, di Gaza nampaknya telah memacu Amerika Syarikat untuk meneruskan perjanjian gencatan senjata yang terhenti.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata kematian pemimpin Hamas itu sebagai “hari yang baik untuk Israel, untuk Amerika dan untuk dunia”, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan pada 17 Oktober.

Beliau kemudian beralih kepada gencatan senjata yang setakat ini tidak menjadi kenyataan walaupun Amerika sebelum ini mengisytiharkan perjanjian itu semakin “dekat”.

Keengganan pentadbiran Encik Biden menggunakan pengaruhnya terhadap Israel untuk gencatan senjata telah mempersoalkan keikhlasan pentadbiran itu menamatkan perang ke atas Gaza.

Ia juga telah melemahkan persepsi tentang keupayaan Washington untuk mempengaruhi peristiwa apabila ketegangan meningkat antara Israel dengan Iran, dan pencerobohan Israel ke atas Lebanon, membawa wilayah itu ke ambang perang besar-besaran.

“Kini terdapat peluang untuk ‘hari susulan’ di Gaza tanpa Hamas berkuasa dan untuk penyelesaian politik yang menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Israel dan Palestin,” kata Presiden Biden.

“Yahya Sinwar adalah halangan yang tidak dapat diatasi untuk mencapai semua matlamat tersebut. Halangan itu tidak lagi wujud,” ujarnya.

Menurut seorang pegawai kanan Amerika dan dua mantan pegawai kanan, pegawai Amerika kini giat berusaha untuk menghidupkan semula rundingan gencatan senjata yang beberapa hari lalu dikatakan oleh Rumah Putih dibekukan.

“Pentadbiran ini percaya perang semakin reda sejak tiga atau empat bulan lalu. Sekarang mereka mempunyai dorongan untuk mengerakkan perbincangan,” kata mantan pegawai Jabatan Negara Amerika, Encil David Schenker.

Penasihat kanan Encik Biden telah menghubungi pengantara Mesir dan Qatar, kata salah seorang mantan pegawai kanan sambil menambah bahawa Rumah Putih boleh menghantar ketua Agensi Risik Pusat (CIA), Encik Bill Burns, kembali ke rantau itu dalam beberapa minggu akan datang.

Terdapat laporan bahawa Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, bakal mengadakan lawatan ke Timur Tengah.

“Kematian Sinwar membuka pintu untuk kemungkinan mencapai perjanjian.

“Pentadbiran akan berusaha untuk melihat sama ada mereka boleh menyelesaikan perbincangan di luar kebuntuan,” kata mantan pegawai CIA dan Majlis Perisikan Kebangsaan untuk Timur Tengah, Encik Alan Pino.

Tetapi mantan duta Amerika ke Qatar, Encik Patrick Theros, berkata Amerika mungkin sudah terlambat dalam memikirkan gencatan senjata boleh menutup ketegangan serantau.

“Momentum telah beralih kepada perang Lebanon dan tidak lama lagi mungkin perang Iran. Gaza adalah isu sampingan dan pembunuhan Sinwar adalah satu komplikasi, bukan penghalang,” kata Encik Theros.

Semasa rundingan gencatan senjata berbulan-bulan sebelum ini, Amerika menyalahkan Hamas, khususnya Encik Sinwar kerana menghalang perjanjian gencatan senjata.

“Saya harap saya boleh memberitahu anda bahawa terdapat rundingan baru di tangan.

“Setakat ini tidak ada kerana Encik Sinwar tidak menunjukkan minat sama sekali untuk meneruskan perbincangan,” kata jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby, pada 15 Oktober, hanya 48 jam sebelum Encik Sinwar dibunuh.

Encik Sinwar dinamakan sebagai pemimpin Hamas selepas Encik Ismail Haniyeh dibunuh di Teheran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg