Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken di Timur Tengah usaha lagi capai gencatan senjata Gaza

Usaha diragui lepas Hamas dakwa Netanyahu sekali lagi halang gencatan senjata, pertukaran tebusan
Aug 19, 2024 | 12:25 PM
Gaza
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, tiba di Tel Aviv pada 18 Ogos dalam satu lagi lawatan ke Timur Tengah bagi mendesak gencatan senjata dilaksanakan di Gaza. - Foto AFP

TEL AVIV: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, tiba di Tel Aviv pada 18 Ogos dalam satu lagi jelajah Timur Tengah bagi mendesak gencatan senjata di Gaza.

Bagaimanapun, Hamas menimbulkan keraguan terhadap misi itu hanya beberapa jam selepas beliau mendarat, dengan menuduh Israel menjejaskan usaha tersebut.

Kumpulan Hamas berkata ia menganggap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bertanggungjawab “menghalang usaha perantara”, menangguhkan perjanjian dan mendedahkan tebusan Israel di Gaza kepada pencerobohan yang sama dihadapi rakyat Palestin.

Pada lawatan kesembilannya ke wilayah itu sejak perang bermula pada Oktober 2023, Encik Blinken akan bertemu pemimpin kanan Israel, termasuk Encik Netanyahu, pada 19 Ogos, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara.

Selepas Israel, Encik Blinken akan meneruskan perjalanan ke Mesir.

Rundingan untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tebusan Israel yang ditahan di Gaza kini berada di “titik perubahan”, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika kepada pemberita.

“Kami fikir ini adalah masa yang genting,” kata pegawai tersebut.

Negara perantara rundingan gencatan senjata – Qatar, Amerika dan Mesir – sejauh ini gagal merapatkan jurang perbezaan yang cukup untuk mencapai persetujuan dalam beberapa bulan pusingan rundingan, dan keganasan berterusan tanpa henti di Gaza, wilayah Palestin yang ditadbir Hamas.

Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 21 orang di Gaza pada 18 Ogos, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Korban termasuk enam kanak-kanak dan ibu mereka dalam serangan udara di sebuah rumah di pusat bandar Deir Al-Balah.

Israel menafikan menyasarkan orang awam sedang ia memburu anggota Hamas, dan menuduh kumpulan itu beroperasi dari kemudahan awam yang termasuk sekolah serta hospital.

Hamas menafikan perkara tersebut.

Tentera Israel berkata ia memusnahkan pelancar roket yang digunakan untuk menyerang Israel dari bandar selatan Gaza, Khan Younis, tempat pertempuran sengit sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, dan membunuh 20 anggota Hamas.

Rundingan gencatan senjata dijangka diteruskan minggu ini di Kahirah menyusuli mesyuarat dua hari di Doha minggu lepas.

Encik Blinken akan cuba meraih kejayaan selepas Amerika mengemukakan cadangan merapatkan jurang antara pihak yang bertelagah itu.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, dan hampir memusnahkan Gaza sepenuhnya, kata pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Israel mendakwa telah membunuh 17,000 anggota Hamas sejak perang meletus sekitar 10 bulan lalu.

Terdapat peningkatan mendesak untuk mencapai perjanjian gencatan senjata di tengah-tengah kebimbangan berlakunya ketegangan lebih luas apabila Iran mengancam akan bertindak balas terhadap Israel selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 31 Julai. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg