Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Palestin teroka gencatan senjata Gaza dengan utusan AS

Dec 13, 2024 | 8:29 AM
Gambar yang diambil daripada selatan sempadan Israel pada 11 Disember menunjukkan bangunan-bangunan yang menyembah bumi akibat serangan Israel di wilayah Gaza.
Gambar yang diambil daripada selatan sempadan Israel pada 11 Disember menunjukkan bangunan-bangunan yang menyembah bumi akibat serangan Israel di wilayah Gaza. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/KAHIRAH: Rakyat Israel dan Palestin buat pertama kalinya memberi isyarat terhadap usaha baru untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang akan menghentikan pertempuran di Gaza dan membebaskan tebusan yang masih ditahan di wilayah Palestin.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, memberitahu rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, dalam panggilan telefon pada 11 Disember bahawa kini terdapat peluang untuk perjanjian baru yang membolehkan semua tebusan dibebaskan, termasuk warga Amerika, kata pejabat Encik Katz.

Seorang diplomat Barat di rantau itu, bagaimanapun, berkata perjanjian sedang dirangka tetapi skopnya mungkin terhad, melibatkan pembebasan hanya segelintir tebusan dan tempoh gencatan senjata singkat.

Gencatan senjata dan pembebasan tebusan merupakan yang kedua sejak permulaan perang pada Oktober 2023.

Keyakinan tersebut timbul apabila penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, berkunjung ke Israel untuk berbincang dengan Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu pada 12 Disember.

Beliau kemudian ke Mesir dan Qatar, perantara bersama Amerika dalam rundingan gencatan senjata.

Secara berasingan, bakal presiden Encik Donald Trump telah mendesak Hamas supaya membebaskan tebusan yang masih ditahan di Gaza sebelum beliau mengambil alih daripada Encik Biden pada 20 Januari 2025. Jika tidak, Encik Trump berkata, Hamas akan menerima padah.

Utusan tebusan yang dilantik Encik Trump, Encik Adam Boehler, berkata beliau juga terlibat dalam usaha tersebut, setelah bercakap dengan Encik Biden dan Encik Netanyahu.

Israel berkata 100 tebusan, tujuh daripadanya dipercayai warga Amerika, masih ditahan di Gaza.

Memetik ancaman Encik Trump itu, Encik Boehler dipetik aluran berita Israel Channel 13 minggu lalu, sebagai berkata: “Saya akan merayu kepada mereka yang telah menahan tebusan: Buat perjanjian terbaik sekarang kerana setiap hari yang berlalu, akan menjadi semakin sukar dan lebih banyak nyawa Hamas akan terkorban.”

Walaupun Encik Biden dan Encik Trump bekerja secara berasingan, namun usaha mereka bertindih dan kedua-duanya akan mendapat manfaat daripada perjanjian, kata seorang pegawai Amerika.

Pegawai itu berkata keutamaan adalah untuk membawa pulang tebusan, sama ada pada penghujung penggal Encik Biden atau permulaan penggal Encik Trump.

Encik Steve Witkoff, utusan Encik Trump di Timur Tengah, telah bertemu secara berasingan pada akhir November dengan Encik Netanyahu dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, kata sumber yang memberi taklimat mengenai rundingan itu. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg