Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Blinken ke Timur Tengah lagi; Amerika serah draf resolusi PBB gesa gencatan senjata segera di Gaza

Blinken lakukan lawatan keenam ke Asia Barat sejak perang Israel-Palestin bermula pada 7 Oktober
Mar 21, 2024 | 01:56 PM



JEDDAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, telah memulakan lawatan terbarunya ke Timur Tengah dengan mengadakan rundingan di Arab Saudi pada 20 Mac, dengan harapan untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin.


Amerika, katanya, telah mengedarkan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa gencatan senjata segera yang dikaitkan dengan pembebasan tebusan di Gaza.

“Kami sebenarnya mempunyai resolusi yang kami kemukakan sekarang iaitu di hadapan Majlis Keselamatan PBB, menggesa gencatan senjata segera yang berkaitan dengan pembebasan tebusan, dan kami amat berharap banyak negara akan menyokongnya,” katanya kepada media Saudi, Al Hadath, ketika lawatan ke Arab Saudi untuk membincangkan perang Israel-Palestin.


Encik Blinken dijadualkan bertemu menteri luar Saudi dan seorang pegawai kanan Palestin di Kahirah pada 21 Mac, menurut nota Kementerian Luar Mesir, sedang beliau mendesak persetujuan bagi gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Jaluran Gaza yang kini berdepan dengan ancaman kebuluran.

Nota itu tidak memberikan butiran mengenai perkara mesyuarat itu, tetapi sumber keselamatan Mesir yang dipetik oleh agensi berita Reuters berkata bahawa negara-negara Arab akan membentangkan rancangan penyelesaian politik konflik Israel-Palestin.


Rancangan sedemikian telah ditangguhkan sedang pengantara dari Qatar, Mesir dan Amerika berusaha untuk mendapatkan perjanjian untuk gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin.

Selepas tiba di Arab Saudi, Encik Blinken telah bertemu Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, dan dijangka mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Kedua-dua diplomat tertinggi itu “membincangkan keperluan mendesak untuk melindungi semua orang awam di Gaza dan segera meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan”, kata Jabatan Negara Amerika dalam satu kenyataan.

Encik Blinken sedang dalam jelajah keenamnya ke Timur Tengah sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober.

Dalam lawatannya itu, Encik Blinken berkata bahawa beliau akan meneruskan perbincangan mengenai pengaturan untuk tadbir urus, keselamatan dan pembangunan semula Gaza pasca konflik, dan untuk keamanan serantau yang berkekalan.

Rundingan untuk perjanjian gencatan senjata diteruskan di Qatar minggu ini berikutan kegagalan untuk mencapai persetujuan sebelum permulaan bulan suci Ramadan.

Pegawai Qatar berkata mereka “berhati-hati optimis” selepas perbincangan dengan ketua perisikan Israel di Doha, walaupun jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata pada 19 Mac bahawa operasi darat Israel di Rafah di selatan Gaza akan menghalang sebarang rundingan.

Pada masa ini terdapat sekitar 1.5 juta penduduk Palestin yang berlindung di Rafah dalam kem-kem yang sesak dan dilanda masalah penyakit berjangkit di tengah-tengah kekurangan bekalan asas, makanan dan ubat-ubatan.

Jabatan Negara Amerika mengumumkan bahawa Encik Blinken akan menamatkan jelajahnya dengan melawat Israel.

“Di Israel, Setiausaha Blinken akan berbincang dengan kepimpinan pemerintah Israel mengenai rundingan yang sedang dijalankan untuk memastikan pembebasan semua tebusan,” kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller.

“Beliau akan membincangkan keperluan untuk memastikan tindakan menghapuskan Hamas, termasuk di Rafah, akan mengambil kira langkah melindungi penduduk awam, tidak menghalang penyampaian bantuan kemanusiaan dan memajukan keselamatan keseluruhan Israel.” – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >