Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken ke Timur Tengah sedang Hamas timbang gencatan senjata

Feb 5, 2024 | 2:08 PM
Penduduk Palestin berjalan dekat puing-puing bangunan yang musnah  akibat pengeboman Israel di khemah pelarian Palestin di Rafah, selatan Gaza pada 4 Februari.
Penduduk Palestin berjalan dekat puing-puing bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel di khemah pelarian Palestin di Rafah, selatan Gaza pada 4 Februari. - Foto EPA-EFE

JALURAN GAZA: Pertempuran sengit berlaku di selatan Gaza pada 4 Februari menjelang lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, ke rantau itu untuk mengusahakan gencatan senjata baru dalam perang yang berlarutan hampir lima bulan.

Washington masih belum menyatakan sebarang destinasi atau tarikh kunjungan kali kelimanya sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.

Dengan perang yang bakal memasuki bulan kelima pada 7 Februari, pengantara antarabangsa mendesak untuk memeterai cadangan perjanjian gencatan senjata dalam mesyuarat di Paris melibatkan pegawai tertinggi Amerika, Israel, Mesir dan Qatar.

Dalam pada itu, Menteri Luar Perancis, Encik Stephane Sejourne, dalam lawatan pertamanya ke Timur Tengah, bertemu rakan sejawatannya di Mesir dan Jordan, dengan Menteri Luar Amman, Encik Ayman Safadi, berkata “tindakan antarabangsa segera” diperlukan “untuk menghentikan perang di Gaza”.

Encik Sejourne berkata beliau telah memberitahu Presiden Mesir, Encikj Abdel Fattah al-Sisi, mengenai hasrat Perancis “untuk gencatan senjata kemanusiaan di Gaza dan memulakan semula rundingan untuk penyelesaian dua negara”.

Seorang pegawai tertinggi Hamas di Lebanon, Encik Osama Hamdan, berkata kumpulannya memerlukan lebih banyak masa untuk “mengumumkan pendirian kami” mengenai perjanjian gencatan senjata.

Encik Hamdan menambah bahawa Hamas mahu “menamatkan secepat mungkin pencerobohan yang dialami rakyat kami”.

Sumber Hamas berkata cadangan itu melibatkan gencatan selama enam minggu yang akan menyaksikan lebih banyak bantuan dihantar ke Gaza dan pembebasan berperingkat tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin di penjara Israel.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata bahawa sekurang-kurangnya 127 orang terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam sebelumnya di wilayah itu.

Pejabat media Hamas berkata, sebuah tadika tempat begitu ramai keluarga berlindung di bandar sempadan selatan Rafah, telah diserang tentera Israel.

“Tiada lagi tempat selamat di Jaluaran Gaza, dari utara ke selatan,” kata Encik Mohammed Kloub, ketika ditemui di Rafah, yang menempatkan lebih separuh daripada penduduk Gaza.

Israel sebelum ini telah memberi amaran bahawa tentera daratnya akan mara ke Rafah sebagai sebahagian daripada kempennya untuk menghapuskan Hamas.

Tentera Israel berkata pihaknya telah menggempur kemudahan Hamas di Khan Younis – pusat militannya menjalani latihan bagi melancarkan serangan ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata tentera telah “memusnahkan 17 daripada 24 batalion (Hamas). Kebanyakan baki batalion berada di wilayah selatan dan di Rafah”.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata:

“Tekanan terhadap Hamas sedang berjalan, mereka berada dalam situasi yang sangat sukar”.

Perang bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan 240 tebusan. Tindakan balas Israel telah mengorbankan lebih 27,000 rakyat Palestin. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg