DOHA: Qatar mendedahkan bahawa kumpulan militan Palestin telah memberikan “pengesahan awal positif” terhadap cadangan untuk menghentikan pertempuran di Jaluran Gaza dan pembebasan tebusan Israel.
Sedang usaha diplomatik turut dijalankan untuk mempercepatkan pencapaian gencatan senjata, Israel pula bersedia untuk mara jauh ke selatan Gaza berdekatan dengan sempadan Mesir, selepas mendakwa sudah berjaya musnahkan Hamas di Khan Younis.
Pertemuan di Paris berjaya menyatukan cadangan, kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari mengenai rundingan melibatkan pegawai Qatar, Amerika Syarikat, Israel dan Mesir pada 28 Januari.
“Cadangan itu telah diluluskan oleh pihak Israel dan kini kami mendapat pengesahan awal positif daripada pihak Hamas,” ujar beliau kepada media pada 1 Februari.
Menurutnya, terdapat harapan untuk “berita baik” mengenai gencatan baru dalam pertempuran “pada beberapa minggu akan datang”.
Bagaimanapun, kumpulan Hamas menyatakan bahawa belum ada konsensus mengenai cadangan itu.
“Belum ada persetujuan mengenai rangka perjanjian itu, pihak-pihak terlibat masing-masing mempunyai pemerhatian penting, dan kenyataan Qatar tergesa-gesa dan tidak benar,” agensi berita AFP memetik sumber yang rapat dengan Hamas sebagai berkata.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar berkata “masih ada jalan yang sangat sukar di depan kita”.
“Namun, kami optimis kerana kedua-dua pihak kini bersetuju dengan premis yang akan membawa kepada gencatan seterusnya,” kata Encik Ansari.
Pada 28 Januari, pengantara dari Amerika, Mesir dan Qatar bertemu pegawai perisikan Israel di Paris di mana mereka mencadangkan pertempuran dihentikan selama enam minggu dalam perang Gaza dan pertukaran tebusan dengan tahanan untuk disemak oleh Hamas.
Qatar telah memainkan peranan penting dalam rundingan, setelah sebelum ini menjadi perantara perjanjian pembebasan tebusan pada November.
Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam. Militan juga menawan kira-kira 250 tebusan, dengan Israel melaporkan bahawa kira-kira 132 masih berada di Gaza, termasuk mayat sekurang-kurangnya 28 tawanan yang mati.
Serangan tentera Israel yang berikutnya, sebagai tindak balas kepada serangan itu, telah membawa kepada krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan lebih 27,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.
Rundingan di Paris menandakan satu langkah kritikal ke arah gencatan senjata yang berpotensi dan penyelesaian konflik yang sedang berlaku.
“Kami tidak boleh menyatakan peringkat rundingan sekarang adalah sifar dan pada masa yang sama kami tidak boleh menyatakan bahawa kami telah mencapai persetujuan,” kata Encik Taher al-Nono, penasihat media ketua biro politik Hamas yang berpangkalan di Qatar.
Selain itu, sumber kanan Palestin memberitahu saluran berita Lebanon Al-Mayadeen bahawa Qatar terlalu gopoh membuat pengumuman dan isyarat positif Hamas itu adalah plot oleh media Israel untuk membangkitkan jangkaan orang ramai tentang perjanjian yang baru wujud.
Menurut beberapa laporan, garis besar rundingan itu menawarkan kemungkinan gencatan selama enam minggu buat kali pertama sejak akhir November, dan pembebasan kesemua 134 tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza, tidak semuanya masih hidup.
Bagaimanapun, laporan lain menyatakan bahawa rangka kerja itu memperuntukkan pembebasan hanya 35 tebusan – wanita, warga emas dan orang sakit – semasa gencatan senjata awal 35 hari, dengan potensi untuk gencatan seminggu lagi dalam pertempuran.
Penduduk Gaza berkata tentera Israel sudah menggempur kawasan sekitar hospital di Khan Younis dan meningkatkan serangan berhampiran Rafah.
Pertempuran juga meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini di kawasan utara sekitar Bandar Gaza yang didakwa Israel sudah ditumpaskan beberapa minggu lalu. –Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg