TEBING BARAT: Israel telah menerbitkan rancangan untuk salah satu petempatan baru di Tebing Barat yang didudukinya, kata Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, pada 14 Ogos – sehari sebelum rundingan damai Gaza yang baru berlangsung.
Menteri sayap kanan itu berkata rancangan tersebut adalah tindak balas terhadap tindakan pimpinan Tebing Barat Palestin dan negara-negara yang telah mengiktiraf Negara Palestin.
“Tiada keputusan anti-Israel atau anti-Zionis akan menghentikan pembangunan petempatan itu,” kata Encik Smotrich.
Petempatan baru seluas 60 hektar yang dipanggil Nachal Heletz itu akan membentuk sebahagian daripada kluster petempatan Gush Etzion dan menghubungkan wilayah itu dengan Baitulmakdis yang berdekatan, tambah Encik Smotrich.
Kebanyakan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap petempatan yang dibina di Tebing Barat dan wilayah lain yang ditawan Israel dalam perang Timur Tengah 1967 adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Namun, Israel mempertikaikannya, memetik hubungan sejarah dan isi kandungan kitab orang Yahudi dengan tanah itu.
Israel mengumumkan pada Jun bahawa ia akan membina lima pos tentera di Tebing Barat, membangunkan tiga petempatan baru dan merampas tanah rakyat Palestin yang luas ketika mereka giat berusaha untuk mewujudkan sebuah negara merdeka.
Penguasa Palestin, yang menjalankan kuasa terhad ke atas Tebing Barat di bawah pendudukan tentera Israel, mengulangi bahawa pembinaan petempatan dan pemusnahan rumah rakyat Palestin merupakan penghapusan etnik, satu dakwaan yang dinafikan Israel.
Pada Mei, Sepanyol, Ireland dan Norway menyertai majoriti negara anggota PBB yang telah mengiktiraf Negara Palestin, melihat penubuhan negara Palestin sebagai satu-satunya cara untuk mencapai keamanan yang berkekalan antara Israel dengan Palestin.
Pusingan baru rundingan gencatan senjata di Gaza dijadual berlangsung di Qatar pada 15 Ogos. Hamas bagaimanapun berkata ia tidak akan hadir dalam rundingan itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg