Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken, PM Qatar gesa semua pihak tidak boikot rundingan gencatan senjata Gaza

Aug 15, 2024 | 1:20 PM
Gaza
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken (kiri), dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani, berusaha mencapai gencatan senjata di Gaza. - Foto AFP

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dan Perdana Menteri Qatar pada 14 Ogos memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menjejaskan rundingan gencatan senjata Gaza.

Amaran tersebut ditujukan khusus kepada Iran, Hamas dan Israel.

Encik Blinken dan Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dalam panggilan telefon menyatakan bahawa “tiada pihak di rantau ini harus mengambil tindakan yang akan menjejaskan usaha untuk mencapai perjanjian,” kata kenyataan Jabatan Negara Amerika.

Kedua-duanya membincangkan “usaha untuk meredakan ketegangan di rantau itu dan kepentingan memuktamadkan gencatan senjata di Gaza,” kata kenyataan itu lagi.

Qatar bersedia untuk menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata Gaza pada 15 Ogos, yang diharapkan oleh Amerika akan menghentikan rancangan Iran untuk menyerang Israel dan sekali gus mengelakkan perang yang lebih luas.

Perantara Amerika, Qatar dan Mesir telah mengundang Israel dan Hamas untuk menyertai rundingan yang bertujuan menamatkan pertempuran yang dikatakan Kementerian Kesihatan Gaza telah membunuh hampir 40,000 orang di wilayah Palestin.

Rundingan itu akan diadakan di ibu kota Qatar di Doha.

Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William Burns, dijadual menyertai rundingan tersebut.

Israel mengesahkan akan hadir manakala Hamas dikatakan tidak akan menyertainya.

Encik Blinken juga sebelum ini telah berbincang dengan diplomat tertinggi Mesir, pemimpin Jordan, Arab Saudi, Turkey dan Israel.

Minggu lalu, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berserta pemimpin Mesir dan Qatar telah menggesa supaya rundingan itu dimulakan pada 15 Ogos.

Inisiatif itu dibuat selepas Encik Biden kecewa dengan serangan Israel yang dianggap Iran sebagai dalang dalam pembunuhan pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 31 Julai.

Usaha perantaraan telah berulang kali terhenti sejak gencatan senjata selama seminggu pada November 2023 yang menyaksikan berpuluh-puluh tebusan Israel di Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel dibebaskan.

Pelan berperingkat itu akan bermula dengan “gencatan senjata lengkap” enam minggu, pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Gaza dan “lonjakan” penyaluran bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg