Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Blinken tekankan Iran, Israel harus elak konflik meruncing

Aug 7, 2024 | 2:28 PM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Anthony Blinken, memberi amaran kepada Iran dan Israel supaya mengelak konflik daripada semakin meruncing.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Anthony Blinken, memberi amaran kepada Iran dan Israel supaya mengelak konflik daripada semakin meruncing. - Foto Reuters

ANNAPOLIS (Amerika Syarikat): Kedua-duanya – Iran dan Israel – harus mengelak konflik semakin meruncing, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, dalam kata-kata yang berterus terang terhadap sekutunya, Israel, ekoran ketegangan Timur Tengah semakin meningkat.

“Tiada siapa harus meningkatkan konflik ini. Kami terlibat dalam diplomasi penuh gigih dengan sekutu dan rakan kongsi, menyampaikan mesej itu terus kepada Iran. Kami menyampaikan mesej itu terus kepada Israel juga,” kata Encik Blinken kepada pemberita pada 6 Ogos.

Iran berikrar akan bertindak balas selepas Israel disyaki membunuh pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 31 Julai.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah menzahirkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, atas pembunuhan itu dan berharap untuk mencapai rundingan gencatan senjata bagi perang Gaza, yang telah berlanjutan selama 10 bulan.

“Komitmen kami terhadap keselamatan Israel kukuh. Kami akan terus mempertahankan Israel daripada serangan kumpulan pengganas atau penaja mereka, sebagaimana kami akan terus mempertahankan tentera kami,” kata beliau.

“Tetapi semua orang di rantau ini harus memahami bahawa serangan selanjutnya hanya mengekalkan konflik, ketidakstabilan, ketidakamanan untuk semua orang,” tambahnya.

Bercakap selepas perbincangan dengan menteri luar dan pertahanan Australia di Akademi Tentera Laut Amerika di Annapolis, Maryland, Encik Blinken berkata: “Amerika sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meredakan ketegangan di Timur Tengah dan untuk mencegah peluasan konflik”.

Encik Blinken juga telah bercakap dengan Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, menerusi telefon.

Jordan – yang mempunyai ramai rakyat Palestin dan perjanjian damai dengan Israel – memainkan peranan penting dalam membantu Amerika menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran pada awal April.

Encik Safadi berkunjung ke Teheran pada 4 Ogos untuk membincangkan situasi semasa.

Encik Blinken enggan menjawab secara langsung sama ada Jordan akan sekali lagi menyokong tindakan terhadap serangan Iran, dan hanya berkata rakan kongsi Amerika mahu menamatkan konflik.

“Serangan lanjut hanya meningkatkan risiko berbahaya yang tiada siapa boleh ramal dan tiada siapa boleh kawal sepenuhnya,” ujarnya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg