BEIJING: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, bertemu Presiden China, Encik Xi Jinping, pada tengah hari Isnin sebagai menggulung lawatan dua harinya ke Beijing bagi memperbaiki hubungan runcing antara dua kuasa besar dunia itu.
Semasa pertemuan yang berlangsung di Dewan Besar Rakyat, Encik Xi, yang duduk di kepala meja besar, memberitahu Encik Blinken bahawa adalah “sangat baik” kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai isu-isu tertentu.
“Interaksi sebuah negara dengan sebuah negara harus berdasarkan kepada sikap saling menghormati dan jujur,” kata Encik Xi.
“Saya berharap melalui lawatan ini... anda akan membuat sumbangan positif bagi kestabilan hubungan China-Amerika.”
Pertemuan itu adalah yang pertama bagi seorang setiausaha negara Amerika dengan pemimpin China sejak 2018, dan akan dapat membantu mempermudah sidang puncak antara Encik Xi dengan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, lewat 2023.
Pada awal Isnin, Encik Blinken bertemu diplomat kanan China, Encik Wang Yi, yang berkata hubungan Amerika-China telah sampai ke peringkat genting dengan pilihan harus dibuat sama ada mahu bekerjasama atau berhadapan konflik.
Dalam pertemuan tiga jam itu, Encik Wang, yang berkedudukan lebih tinggi daripada Menteri Luar, Encik Qin Gang, menyalahkan Amerika yang mengakibatkan hubungan tegang ekoran “mempunyai persepsi salah terhadap China”.
Beliau turut menggesa Washington supaya berhenti daripada berfikir bahawa sebuah negara yang kuat harus mendominasi yang lain.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu pada pagi Isnin di Rumah Persinggahan Negara Diaoyutai, tempat para pemimpin China menyambut orang-orang kenamaan asing, dalam satu mesyuarat.
Ia bertujuan memperbaiki hubungan yang telah terjejas dan terus memburuk apabila Amerika menembak jatuh apa yang dikatakannya sebagai belon pengintip China, di ruang angkasa Amerika.
Kejadian itu terjadi sejurus sebelum Encik Blinken memulakan lawatan yang telah diaturnya pada Februari, memaksa beliau menangguhkannya.
Satu kenyataan Kementerian Luar China pada Isnin menyebut Encik Wang sebagai memberitahu Encik Blinken bahawa Amerika harus “menunjukkan dengan sebenar” dan bekerjasama dengan Beijing bagi mengendalikan perbezaan antara kedua-dua negara.
“Jurang hubungan Amerika-China berpunca daripada Amerika yang mempunyai persepsi salah terhadap China, hingga mempunyai dasar yang salah terhadap China,” kata Encik Wang, yang juga pengarah Jawatankuasa Pusat bagi Suruhanjaya Ehwal Luar, Parti Komunis China.
Encik Blinken merupakan pegawai Amerika paling tinggi melawat China sejak Encik Biden memegang kuasa.
Beijing menyifatkan hubungan antara kedua-dua negara itu sebagai paling buruk sejak hubungan diplomatik antara mereka dijalin empat dekad lalu.
Ulasan Encik Wang itu sama dengan apa yang dinyatakan oleh Encik Qin pada Ahad lalu dalam pertemuan dengan Encik Blinken yang berlangsung lebih lima jam.
Rundingan pada Ahad itu lebih “berterus terang, penting dan membina,” kata satu kenyataan Jabatan Negara Amerika, yang menambah bahawa Encik Blinken telah memberitahu Encik Qin bahawa Washington tidak ingin terpisah dengan China.
Kedua-dua pihak komited untuk menstabilkan hubungan dan mengelakkan persaingan yang boleh membawa kepada konflik. – ST.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg