Topik diikuti
Pergi ke BHkuBola sepak Palestin kembali selepas hampir 3 tahun terhenti akibat perang Gaza
RAMALLAH: Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengumumkan pertandingan bola sepak domestik akan kembali berlangsung mulai 4 September selepas terhenti hampir tiga tahun akibat perang di Gaza yang menjejaskan kegiatan sukan Palestin.
Presiden PFA, Encik Jibril Rajoub, berkata pertandingan pertama selepas tempoh panjang itu dinamakan ‘Piala Seribu Syuhada’, bagi memperingati 1,014 atlet Palestin yang menurut persatuan tersebut terbunuh sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.
Sebanyak 226 kelab akan menyertai kejohanan itu, membabitkan 146 kelab dari Tebing Barat yang diduduki Israel; 44 dari Gaza dan 36 dari kem pelarian Palestin di Lebanon.
Pertandingan akan bermula serentak di ketiga-tiga wilayah pada 4 September.
“Kami mengumumkan penyambungan semula kegiatan sukan dan liga persatuan bola sepak mulai 4 September,” kata Encik Rajoub dalam sidang media di Akademi Joseph Blatter di Al-Bireh, dekat Ramallah, pada 10 Ogos.
Menurut Encik Rajoub, perang telah mewujudkan keadaan amat sukar bagi rakyat Palestin sehingga menyebabkan pertandingan dan kegiatan sukan terpaksa dihentikan.
“Tetapi kami tidak kehilangan semangat nasional Palestin dan tidak hilang keyakinan bahawa sukan akan terus menjadi simbol harapan dan kehidupan,” katanya.
Liga bola sepak Palestin, termasuk pertandingan profesional, dihentikan selepas perang Gaza tercetus pada Oktober 2023.
PFA berkata ‘Piala Seribu Syuhada’ akan menjadi pertandingan peralihan sebelum sistem liga berdasarkan divisyen diperkenalkan semula pada musim depan.
Pusingan awal akan dijalankan mengikut wilayah bagi mengurangkan masalah perjalanan dan kos yang dihadapi kelab.
Perlawanan pembukaan di Tebing Barat akan menyaksikan Jabal Al-Mukaber menentang Shabab Al-Khaleel di Stadium Faisal Al-Husseini.
Di Gaza, Shabab Rafah akan berdepan Khadamat Rafah, manakala Al-Ansar akan menentang Al-Nahda di kem pelarian Ain al-Hilweh di Lebanon.
Tiga trofi berasingan turut disediakan bagi pertandingan di Tebing Barat, Gaza dan Lebanon, dengan setiap trofi memaparkan nama 1,014 atlet Palestin yang dilaporkan terbunuh sepanjang perang.
PFA akan memberikan bantuan kewangan dengan jumlah sama kepada setiap kelab yang layak bagi membantu membiayai pembelian peralatan dan kos pengangkutan.
Encik Rajoub mengakui usaha menghidupkan semula bola sepak Palestin berdepan cabaran kewangan besar selepas hampir tiga tahun kegiatan sukan terganggu.
Menurutnya, pemerintah Palestin menjadi sumber utama pembiayaan sejak kebelakangan ini, selain bantuan menerusi projek Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), geran antarabangsa dan sokongan Persekutuan Bola Sepak Norway.
Antara projek Fifa ialah pembinaan pusat teknikal di Baitulmakdis, kerja menaik taraf Stadium Faisal Al-Husseini, pembiayaan pusat pembangunan belia serta sokongan kepada pusat sukan di Gaza.
PFA bagaimanapun masih belum memperoleh pinjaman bank yang diperlukan bagi membantu membiayai penyambungan semula pertandingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Rajoub sekali lagi menggesa Fifa dan badan bola sepak antarabangsa mempertahankan hak atlet Palestin serta memastikan peraturan sukan antarabangsa dilaksanakan secara sama rata.
PFA sebelum ini meminta Fifa mengenakan tindakan terhadap kelab Israel yang beroperasi di kawasan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki serta menggantung keanggotaan Israel berhubung tindakannya di Gaza.
Petempatan Israel di Tebing Barat dianggap tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.
“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami menuntut hak sah yang dijamin oleh undang-undang dan piagam sukan antarabangsa,” kata Encik Rajoub.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Fifa mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan peraturannya secara sama rata tanpa tunduk kepada tekanan politik.
Pada masa sama, Palestin merancang menghantar delegasi seramai 108 anggota, termasuk 67 atlet dalam 19 acara sukan, ke Sukan Asia di Jepun.
Pasukan bola sepak kebangsaan Palestin pula dijadual mengadakan perlawanan persahabatan di China pada September, manakala skuad Olimpik akan berdepan sebuah pasukan Turkey di Konya pada 30 September.
Bagi PFA, kembalinya pertandingan bola sepak bukan sekadar menghidupkan semula liga selepas hampir tiga tahun terhenti, malah usaha memulihkan kegiatan sukan dan memberikan ruang kepada atlet Palestin kembali beraksi. – Agensi berita.
