GAZA: Ketika dunia meraikan pembukaan Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, sekumpulan pemain bola sepak orang kurang upaya (OKU) di Gaza terus berjuang meneruskan kehidupan di tengah kemusnahan perang yang memusnahkan hampir seluruh wilayah Palestin itu.

Di runtuhan Stadium Palestin di Bandar Gaza, Encik Ali Tafesh berlari mengejar bola dengan bantuan tongkat sambil melakukan hantaran bersama rakan sepasukannya dalam kelab bola sepak amputasi, Gaza Al-Irada atau “Semangat Gaza”.

Bagi mereka, bola sepak bukan lagi sekadar sukan, sebaliknya menjadi simbol harapan dan usaha untuk meneruskan hidup selepas kehilangan anggota badan, ahli keluarga dan tempat tinggal akibat perang.

Encik Ali, 24 tahun, berkata suasana Piala Dunia 2022 di Qatar masih segar dalam ingatannya apabila beliau menonton perlawanan bersama rakan-rakan di sebuah kafe di Gaza.

“Ketika itu semua orang menyokong pasukan masing-masing dan suasananya sangat indah,” katanya kepada Al Jazeera.

“Hari ini keadaan di Gaza sangat sukar. Kami berdepan pengeboman dan kematian pada bila-bila masa.”

Pada Februari 2024, rumah keluarganya di kawasan Zeitoun di timur Bandar Gaza dibom, mengorbankan ibu dan abangnya, manakala salah satu kakinya terpaksa dipotong.

Encik Ali yang sebelum ini atlet pecut dan pernah memenangi beberapa pingat berkata beliau hampir kehilangan harapan untuk hidup selepas tragedi itu.

“Selepas kaki saya dipotong, saya hilang semangat hidup. Saya pernah menjadi juara dan memiliki pingat,” katanya.

“Rakan-rakan dari Gaza Al-Irada datang melawat saya dan saya meminta untuk menyertai mereka. Mereka menerima saya dengan baik.”

Kini beliau terpaksa berjalan lebih dua jam menggunakan tongkat untuk tiba ke padang latihan kerana tiada pengangkutan.

“Kami tiada kasut sukan, tiada tongkat tambahan dan banyak peralatan keselamatan juga tidak ada,” katanya.

“Kami bermain dengan apa sahaja yang ada dan cuba membangunkan semula bola sepak dengan kemampuan yang sangat terhad.”

Seorang lagi pemain, Encik Saadi al-Masri, 40 tahun, kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya ketika berusia dua tahun, jauh sebelum perang berlaku.

Namun beliau berjaya mencipta nama sebagai juara renang Palestin dan pernah mewakili skuad bola tampar serta bola sepak amputasi Palestin di kejohanan Asia.

Kini beliau berkata perang menyebabkan impian atlet Gaza untuk bersaing di pentas antarabangsa hampir musnah.

“Menonton Piala Dunia sangat menyakitkan bagi kami,” katanya.

“Kami sepatutnya menyertai kelayakan kejohanan antarabangsa tahun ini, tetapi perang menghalangnya. Kami rasa seperti dilupakan.”

Menurut Encik Saadi, atlet Palestin sentiasa mahu mengibarkan bendera Palestin di kejohanan dunia walaupun berdepan pelbagai tekanan.

“Kami mahu membuktikan kami masih wujud walaupun dalam keadaan paling sukar,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menurutnya masih gagal menunaikan janji membantu pembangunan semula sukan di Gaza.

“Malangnya FIFA belum memberikan apa-apa bantuan sebenar kepada sukan Palestin,” katanya.

“Kami sangat memerlukan pembinaan semula stadium dan kemudahan sukan yang musnah sepenuhnya.”

Pada Februari lalu, FIFA mengumumkan rancangan membina semula prasarana bola sepak Gaza termasuk 50 padang mini, lima stadium bersaiz penuh, akademi bola sepak dan stadium nasional berkapasiti 20,000 penonton.

Namun projek itu masih belum menunjukkan perkembangan nyata.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 5,000 hingga 6,000 rakyat Palestin di Gaza kehilangan anggota badan sejak perang bermula pada Oktober 2023.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), seramai 1,007 warga komuniti sukan Gaza termasuk pemain, jurulatih, pengadil dan petugas sukan terbunuh sejak perang tercetus.

PFA juga melaporkan sebanyak 265 kemudahan sukan rosak atau musnah akibat serangan Israel termasuk stadium bola sepak, gimnasium, kolam renang dan bangunan kelab.

Sebahagian stadium utama di Gaza kini dijadikan pusat perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Jurulatih Gaza Al-Irada, Encik Hatem al-Mughrebi, berkata Piala Dunia kini menjadi peringatan menyakitkan mengenai pengasingan yang dialami atlet Gaza.

“Kebanyakan kami hanya akan menonton Piala Dunia melalui telefon bimbit,” katanya.

“Perang dan kepungan memberi kesan psikologi yang sangat buruk kepada pemain, terutama mereka yang kehilangan kaki atau tangan.”

Beliau berkata pada Piala Dunia Qatar 2022, delegasi sukan Gaza masih dapat menghadiri perlawanan secara langsung, tetapi kini Gaza seolah-olah dipadam daripada dunia sukan antarabangsa.

“Kami memerlukan sokongan sebenar untuk membina semula stadium dan memberi peluang kepada pemain meneruskan kehidupan,” katanya.

Wartawan sukan Gaza, Encik Youssef Baalousheh, yang pernah membuat liputan lebih 40 kejohanan antarabangsa termasuk Piala Dunia Qatar 2022, berkata beliau kini hanya mampu mengikuti perkembangan sukan menerusi telefon bimbit apabila mendapat sambungan Internet.

“Saya berasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat meneruskan perjalanan kerjaya saya,” katanya.

“Kami hidup dengan harapan untuk membuat liputan Piala Dunia 2026, tetapi hari ini realitinya sangat berbeza.”

Seorang lagi penyiar sukan Gaza, Ihab Abu al-Khair, berkata peluang menghadiri kejohanan antarabangsa masih diterima, namun sekatan perjalanan menyebabkan beliau gagal keluar dari Gaza.

Banyak peluang datang dalam tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

“Tetapi perang dan penutupan sempadan menghalang kami memanfaatkannya dan itu sangat mengecewakan.” - Agensi berita