SAO PAULO: Pemerintah Brazil mengumumkan bahawa Indonesia secara rasmi diterima sebagai anggota penuh dalam kumpulan Brics, memperluaskan lagi pengaruh kumpulan negara ekonomi utama.
Dengan kemasukan Indonesia, Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pertubuhan antara pemerintah dan kerajaan itu turut melibatkan Iran, Mesir, Ethiopia, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Indonesia, negara dengan jumlah penduduk keempat terbesar di dunia, telah lama menyuarakan hasrat untuk menyertai Brics sebagai langkah untuk memperkukuhkan negara-negara membangun dan memajukan kepentingan ‘Selatan Sejagat’ – merujuk kepada negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.
Indonesia percaya bahawa dengan menjadi sebahagian daripada Brics, ia dapat memberi sumbangan positif dalam memperkuatkan kerjasama antarabangsa dan menjalankan perubahan institusi tadbir urus sejagat.
Menurut kenyataan rasmi daripada Brazil, yang merupakan pengerusi Brics pada 2025, keputusan untuk menerima Indonesia dibuat melalui konsensus dalam kalangan negara anggota.
Perkembangan itu adalah sebahagian daripada usaha yang telah dimulakan pada Sidang Kemuncak Brics di Johannesburg, Afrika Selatan.
“Indonesia berkongsi dengan anggota lain sokongan untuk perubahan institusi tadbir urus sejagat dan memberi sumbangan positif dalam memperdalam kerjasama dalam kalangan negara-negara Selatan Sejagat,” kata pemerintah Brazil dalam kenyataannya.
Kemasukan Indonesia ke dalam Brics mendapat persetujuan pada 2023, tetapi negara Asia Tenggara itu meminta untuk menyertainya selepas pemilihan presiden yang berlangsung pada 2024.
Presiden Prabowo Subianto, yang dilantik pada Oktober 2024, turut memberi sokongan penuh terhadap penyertaan Indonesia dalam Brics.
Langkah Indonesia itu dijangka memberi kesan besar kepada dinamik politik dan ekonomi antarabangsa.
“Indonesia mempunyai potensi besar untuk membawa perspektif baru dalam Brics dan memperkukuhkan suara negara-negara membangun dalam pembentukan dasar sejagat,” kata penganalisis ekonomi, Dr Muhammad Faisal, dalam satu kenyataan.
Dengan Indonesia sebagai anggota penuh, Brics kini mewakili lebih 40 peratus daripada penduduk dunia, menjadikannya blok ekonomi yang semakin berpengaruh.
Brics telah meletakkan dirinya sebagai ‘pengimbang’ kepada institusi yang dipelopori Barat, terutama Amerika Syarikat.
Bakal Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini pernah memberi amaran untuk mengenakan tarif 100 peratus jika Brics membangunkan mata wang pesaing kepada dolar Amerika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg