Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Britain bakal iktiraf negara Palestin pada Sep

Jul 30, 2025 | 12:22 PM
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengumumkan negaranya akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada September melainkan Israel mengambil pelbagai langkah tegas termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengumumkan negaranya akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada September melainkan Israel mengambil pelbagai langkah tegas termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza - Foto REUTERS

LONDON: Perdana Menteri Encik Keir Starmer mengumumkan Britain akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada September melainkan Israel mengambil pelbagai langkah tegas termasuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Langkah yang berpotensi menjadi mercu tanda itu, merupakan sebahagian daripada rancangan Encik Starmer demi “keamanan yang berkekalan”.

Pengumuman itu dibuat selepas pemimpin Britain itu memanggil balik Kabinetnya daripada rahat untuk berbincang mengenai keadaan yang semakin teruk di Gaza yang dikepung itu.

Langkah Encik Starmer, seiring dengan keputusan Paris untuk mengiktiraf negara Palestin pada September, akan menjadikan dua sekutu Eropah itu negara Kumpulan Tujuh (G7) pertama yang berbuat demikian.

Dalam ucapan di Downing Street sejurus selepas mesyuarat Kabinet pada 30 Julai, Encik Starmer berkata Britain akan mengiktiraf negara Palestin jika Israel tidak mengambil langkah yang bakal didesak oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sidangnya pada 23 September kelak.

Ia mesti “menamatkan keadaan mengerikan di Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata dan komited pada keamanan jangka panjang, mampan dan menghidupkan semula prospek” penyelesaian dua negara, tambahnya.

Encik Starmer berkata: “Saya selalu berkata kami akan mengiktiraf negara Palestin sebagai sumbangan kepada proses damai dan sekali gus memberikan kesan maksimum untuk penyelesaian dua negara. Dengan penyelesaian itu kini terancam, inilah masanya untuk bertindak.”

Mengulas kenyataan itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata: “Starmer memberi ganjaran kepada keganasan Hamas dan menghukum mangsanya.”

“Negara di sempadan Israel hari ini akan mengancam Britain esok. Penyelesaian terhadap usaha pengganas sentiasa gagal. Ia akan mengecewakan anda juga,” tulisnya di wadah X.

Pemimpin Britain itu turut memperincikan beberapa tuntutan terhadap Hamas, yang menahan tebusan Israel dalam serangannya pada 7 Oktober 2023.

“Mereka mesti segera membebaskan semua tebusan, mencapai gencatan senjata, melucutkan senjata dan menerima bahawa mereka tidak akan memainkan peranan dalam pemerintah Gaza kelak,” jelas Encik Starmer.

Beliau yang bercakap dengan Encik Netanyahu menerusi telefon sebelum pengumuman itu, memberitahunya keadaan di Gaza tidak dapat diterima.

“Beliau menggesa Encik Netanyahu segera menarik balik semua sekatan ke atas akses bantuan,” kata jurucakap Downing Street.

Walaupun lebih 140 negara telah mengiktiraf negara Palestin, namun tidak satu pun daripada keputusan mereka itu seberat Britain dan Perancis, yang merupakan sekutu bersenjata nuklear Israel dengan kerusi tetap di Majlis Keselamatan PBB. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg