Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Macron: Perancis iktiraf negara Palestin pada Sep

Jul 25, 2025 | 12:14 PM
macron, palestin, iktiraf
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, menyatakan negaranya akan mengiktiraf Negara Palestin dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September. - Foto REUTERS

PARIS: Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, negaranya akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi semasa mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September, negara Eropah paling berkuasa yang mengumumkan langkah sedemikian.

Sekurang-kurangnya 142 negara kini mengiktiraf atau merancang mengiktiraf kenegaraan Palestin, meskipun Israel dan Amerika Syarikat menentang keras langkah itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, menyifatkannya sebagai “keputusan melulu yang hanya melayani propaganda Hamas”.

“Ia adalah satu tamparan di muka kepada mangsa perang 7 Oktober,” tulisnya di X, merujuk kepada serangan kumpulan Hamas ke atas Israel pada 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.

Beberapa negara telah mengumumkan rancangan mengiktiraf kenegaraan bagi rakyat Palestin sejak Israel melancarkan pengeboman ke atas Gaza hampir dua tahun lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas.

Pengumuman Encik Macron itu menimbulkan kemarahan serta-merta daripada Israel, dengan Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu berkata ia “memberi ganjaran kepada keganasan” dan menimbulkan ancaman kepada Israel.

Encik Netanyahu berkata dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu “berisiko mewujudkan satu lagi proksi Iran, sama seperti Gaza”, yang akan menjadi “latar pelancaran untuk memusnahkan Israel – bukan untuk hidup dengan aman di sebelahnya”.

Pegawai Kanan Penguasa Palestin, Encik Hussein al-Sheikh, mengalu-alukan langkah itu, berkata ia “mencerminkan komitmen Perancis terhadap undang-undang antarabangsa dan sokongannya terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara mereka yang merdeka”.

Hamas memuji ikrar Encik Macron sebagai “langkah positif ke arah yang betul bagi menegakkan keadilan kepada rakyat Palestin yang tertindas dan menyokong hak mereka yang sah untuk menentukan nasib sendiri”.

Di London, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata beliau akan mengadakan panggilan kecemasan dengan Perancis dan Jerman berhubung situasi di Gaza, yang disifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan yang “tidak terkata dan tidak dapat dipertahankan”.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan rakan kongsi “apa yang boleh kami lakukan segera untuk menghentikan pembunuhan dan mendapatkan orang ramai makanan yang mereka sangat perlukan,” dan menyeru Israel agar membenarkan bantuan masuk ke wilayah Palestin.

“Penderitaan dan kebuluran yang berlaku di Gaza tidak dapat diungkapkan dan tidak dapat dipertahankan. Walaupun keadaan telah teruk sejak sekian lama, ia kini terus bertambah buruk. Kita sedang menyaksikan bencana kemanusiaan,” kata Encik Starmer. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg