NEW YORK: Perancis berkata bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan bagi rakyat Israel dan Palestin semasa satu persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai bersama dengan Arab Saudi pada 28 Julai, yang diboikot oleh Israel dan dianggap sebagai “aksi publisiti” oleh Amerika Syarikat.
“Hanya penyelesaian politik dua negara yang akan menjawab aspirasi sah rakyat Israel dan Palestin untuk hidup dalam keamanan dan keselamatan. Tiada alternatif lain,” kata Menteri Luar Perancis Encik Jean-Noel Barrot pada permulaan persidangan selama tiga hari itu.
Beberapa hari sebelum persidangan, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan bahawa beliau secara rasmi akan mengiktiraf kenegaraan Palestin pada bulan September, mencetuskan penentangan kuat daripada Israel dan Amerika Syarikat.
Luxembourg pada hari yang sama memberi bayangan bahawa ia mungkin akan mengikut jejak Perancis dan mengiktiraf negara Palestin pada September, dengan kemungkinan beberapa negara lain turut mengumumkan rancangan yang sama apabila persidangan bersambung pada 29 Julai.
“Semua negara mempunyai tanggungjawab untuk bertindak sekarang,” kata Perdana Menteri Palestin Encik Mohammad Mustafa pada permulaan persidangan itu, sambil menyeru satu pasukan antarabangsa ditubuhkan untuk menyokong kenegaraan Palestin.
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa mengiktiraf negara Palestin, dan kemudian menuntut agar Hamas menyerahkan kawalan ke atas Gaza serta melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk menamatkan pertempuran di wilayah itu.
Perancis berharap Britain akan mengikuti langkahnya. Lebih 200 ahli parlimen Britain pada 25 Julai menyatakan sokongan terhadap idea tersebut, tetapi Perdana Menteri Encik Keir Starmer berkata pengiktirafan negara Palestin “mesti menjadi sebahagian daripada pelan yang lebih menyeluruh”.
Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres berkata dalam persidangan itu bahawa “penyelesaian dua negara kini semakin jauh daripada dicapai”.
Menurut pangkalan data AFP, sekurang-kurangnya 142 daripada 193 negara anggota PBB kini mengiktiraf negara Palestin yang diisytiharkan oleh kepimpinan Palestin dalam buangan pada tahun 1988.
Pada tahun 1947, menerusi satu resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung, PBB memutuskan untuk membahagikan Palestin, yang ketika itu di bawah mandat British, kepada negara Yahudi dan Arab. Israel diisytiharkan pada tahun 1948.
Selama beberapa dekad, kebanyakan negara anggota PBB menyokong penyelesaian dua negara dengan Israel dan Palestin wujud secara berdampingan.
Namun selepas lebih 21 bulan perang di Gaza, peluasan berterusan penempatan Israel di Tebing Barat, dan kenyataan pegawai Israel untuk merampas wilayah yang diduduki, timbul kebimbangan bahawa sebuah negara Palestin mungkin menjadi mustahil dari segi geografi.
Perang semasa di Gaza bermula selepas serangan maut oleh Hamas ke atas Israel, yang dibalas dengan tindak balas ketenteraan berskala besar oleh Israel sehingga meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur di kawasan itu.
Encik Barrot berkata adalah satu “ilusi” untuk berfikir bahawa gencatan senjata kekal boleh dicapai tanpa pelan masa depan untuk Gaza dan satu hala tuju politik. Selain memudahkan keadaan bagi pengiktirafan negara Palestin, persidangan itu turut menumpukan kepada tiga isu lain: reformasi Penguasa Palestin, perlucutan senjata Hamas serta penyingkiran Hamas daripada kehidupan awam Palestin, dan pemulihan hubungan negara Arab dengan Israel.
Bagaimanapun, menurut satu sumber diplomatik Perancis, tiada pengumuman baru mengenai perjanjian pemulihan dijangka akan dibuat dalam persidangan ini.
Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan Al-Saud berkata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump boleh menjadi “pemangkin” untuk menamatkan perang di Gaza dan memulakan semula penyelesaian dua negara, sambil menegaskan bahawa Riyadh tidak mempunyai rancangan untuk memulihkan hubungan dengan Israel.
Susulan kenyataan itu, Jabatan Negara Amerika melabelkan persidangan tiga hari itu sebagai “tidak produktif dan tidak kena pada waktunya”, serta menyifatkannya sebagai “aksi publisiti” yang akan menyukarkan usaha damai.
Menteri Luar Jordan Encik Ayman Safadi berkata tindakan segera diperlukan untuk menentang “penempatan haram Israel, rampasan tanah dan pencerobohan ke atas tapak suci”.
Israel dan Amerika Syarikat tidak menyertai persidangan tersebut, di tengah tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap Israel untuk menamatkan perang hampir dua tahun di Gaza.
Walaupun Israel mengumumkan beberapa “jeda taktikal”, bencana kemanusiaan di Gaza terus menjadi fokus utama ucapan dalam persidangan itu. Duta Israel ke PBB Encik Danny Danon berkata, “Persidangan ini tidak membantu ke arah penyelesaian.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg