Topik diikuti
Pergi ke BHkuIreland larang import barangan dari petempatan Israel
Ireland larang import barangan dari petempatan Israel
Ireland larang import barangan dari petempatan Israel
DUBLIN: Parlimen Ireland meluluskan rang undang-undang yang melarang import barangan dari petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, sekali gus menjadikan negara itu antara yang paling tegas di Eropah dalam mengambil tindakan terhadap dasar pendudukan Israel.
Rang Undang-Undang Larangan Import Barangan Petempatan Israel itu melarang kemasukan barangan yang dihasilkan di petempatan Israel di Tebing Barat, Baitulmakdis Timur dan kawasan lain yang terletak di luar sempadan Israel yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Antara barangan yang terjejas ialah hasil pertanian, produk perniagaan dan barangan dari kawasan petempatan penduduk Israel yang dibina di wilayah Palestin yang diduduki.
Pemerintah campuran pimpinan parti tengah kanan yang menggubal undang-undang itu berkata kandungannya berpandukan pendapat nasihat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024.
ICJ memutuskan bahawa pendudukan Israel di Tebing Barat, Baitulmakdis Timur dan Jaluran Gaza adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
Walaupun Ireland merupakan negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang mencadangkan larangan sedemikian, Sepanyol terlebih dahulu melaksanakan sekatan import terhadap petempatan Israel pada Oktober 2025.
Kelulusan rang undang-undang itu mencerminkan pendirian konsisten Dublin yang sejak sekian lama lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.
Ireland turut mengiktiraf Negara Palestin pada 2024 sebagai tanda sokongan terhadap penyelesaian dua negara.
Tindakan itu menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara apabila Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, mengarahkan Kedutaan Israel di Dublin ditutup.
Beliau menuduh Ireland mengamalkan dasar yang disifatkannya sebagai “terlalu anti-Israel”.
Pada Jun lalu pula, Ireland melarang Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, dan Menteri Kewangan, Encik Bezalel Smotrich, daripada memasuki negara itu.
Pemerintah Ireland berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan dan kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan terhadap aktivis pro-Palestin.
Selain itu, Ireland turut mendesak Kesatuan Eropah mengkaji semula Perjanjian Persatuan EU-Israel yang ditandatangani pada 1995 dan menjadi asas hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak.
Kesatuan Eropah pada Jun mengumumkan akan meneliti beberapa pilihan untuk mengehadkan perdagangan dengan petempatan Israel.
Bagaimanapun, negara anggota EU masih belum mencapai kata sepakat mengenai tindakan lebih tegas terhadap Israel.
Dari sudut ekonomi, larangan import oleh Ireland dijangka memberi kesan yang kecil kerana nilai perdagangan dengan petempatan Israel itu kurang daripada €1 juta ($1.5 juta) bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Barangan yang diimport dari kawasan berkenaan kebanyakannya terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan kayu.
Walaupun rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat, ia masih perlu mendapat kelulusan Dewan Negara sebelum dikuatkuasakan.
Ahli-ahli pembangkang menyambut baik langkah berkenaan tetapi berpendapat ia masih belum mencukupi kerana hanya meliputi import barangan dan tidak merangkumi perdagangan perkhidmatan.
Mereka menggesa pemerintah memperluaskan larangan itu supaya melibatkan semua bentuk urusan perdagangan dengan petempatan Israel.
Bagaimanapun, pemerintah Ireland menjelaskan bahawa larangan terhadap perdagangan perkhidmatan jauh lebih rumit dari sudut perundangan dan memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan undang-undang itu kukuh serta tidak mudah dicabar di mahkamah.
“Keutamaan kami ialah memastikan undang-undang ini mempunyai asas perundangan yang kukuh sebelum dilaksanakan,” kata pemerintah.
Kelulusan rang undang-undang itu dijangka meningkatkan lagi tekanan antarabangsa terhadap Israel, ketika semakin banyak negara Barat menilai semula hubungan perdagangan mereka susulan konflik berterusan di Gaza dan isu petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki. – Agensi berita.
