LONDON: Operasi penerbangan di Britain beransur pulih pada 9 September selepas gangguan besar sistem kawalan trafik udara sehari sebelumnya, tetapi lebih 150 penerbangan masih dibatalkan ketika lapangan terbang berusaha mengatasi kesan kelewatan dan pembatalan yang berterusan.

Laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 melaporkan 177 penerbangan yang dijadualkan pada 9 September telah dibatalkan, dengan hampir semuanya melibatkan Lapangan Terbang Heathrow di London, lapangan terbang paling sibuk di Britain.

Ia menyusuli sekitar 1,300 penerbangan dari dan ke lapangan terbang Britain yang dibatalkan pada 8 September akibat masalah teknikal pada sistem kawalan trafik udara.

Gangguan selama beberapa jam itu menyebabkan ratusan ribu penumpang terjejas dan meningkatkan tekanan terhadap Perkhidmatan Trafik Udara Nasional (NATS), penyedia perkhidmatan kawalan trafik udara Britain.

NATS berkata ia masih berusaha memulihkan sepenuhnya rangkaian penerbangan selepas masalah pada sistemnya dapat diselesaikan.

“Proses pemulihan ini sangat rumit dan telah menimbulkan kesukaran kepada seluruh rangkaian penerbangan, yang memerlukan masa untuk kembali pulih,” kata NATS dalam satu kenyataan lewat 8 September.

Heathrow berkata penerbangan berlepas telah disambung semula selepas masalah teknikal itu menyebabkan ketibaan pesawat digantung buat sementara waktu.

Bagaimanapun, lapangan terbang tersebut memberi amaran bahawa gangguan dijangka berterusan kerana pesawat dan kru perlu ditempatkan semula selepas jadual penerbangan terganggu.

Penumpang dinasihatkan supaya memeriksa status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.

Lapangan Terbang Gatwick di London, yang kedua paling sibuk di Britain, turut mengeluarkan nasihat sama.
Gangguan terbaru itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai daya tahan sistem kawalan trafik udara Britain selepas beberapa masalah teknikal berlaku dalam tempoh tiga tahun lalu.

Setiausaha Pengangkutan Britain, Cik Heidi Alexander, dijadual bertemu Ketua Pegawai Eksekutif NATS, Encik Martin Rolfe, pada 9 September bagi mendapatkan penjelasan mengenai punca kejadian.

“Saya mahu mendapatkan jaminan bahawa pengajaran akan diambil dan sistem yang menyokong sektor penerbangan mampu menjalankan tugasnya dengan baik,” kata Cik Alexander.

Encik Rolfe memohon maaf kepada penumpang yang terjejas dan berkata siasatan awal menunjukkan gangguan itu bukan disebabkan serangan siber.

Beliau menerima “tanggungjawab penuh” terhadap kejadian tersebut, tetapi enggan menyatakan sama ada beliau mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Encik Rolfe turut mempertahankan prestasi NATS dengan berkata Britain mempunyai antara perkhidmatan kawalan trafik udara yang mempunyai reputasi terbaik di dunia dari segi keselamatan dan daya tahan.

Desakan supaya beliau berundur bagaimanapun semakin meningkat.

Pengarah Urusan Wizz Air di Britain, Cik Yvonne Moynihan, berkata kedudukan Encik Rolfe perlu dipertimbangkan selepas beberapa gangguan sistem berlaku.

“Saya fikir dalam mana-mana industri, apabila berlaku tiga kegagalan, anda perlu mempertimbangkan kedudukan anda. Tiga kali gagal dan anda keluar,” katanya kepada BBC.

Ryanair pula sekali lagi menggesa pemerintah Britain memecat Encik Rolfe.

Ketua Pegawai Operasi Ryanair, Encik Neal McMahon, mendakwa kepimpinan NATS sekali lagi gagal melindungi kepentingan penumpang Britain dan meminta pemerintah campur tangan.

Syarikat penerbangan turut berdepan kesan besar akibat gangguan itu.

British Airways berkata pembatalan penerbangan memberi kesan kepada puluhan ribu pelanggannya dan memberi amaran mengenai kesan berpanjangan terhadap jadual penerbangan.

Ryanair pula melaporkan puluhan ribu penumpangnya terjejas dan banyak penerbangannya terpaksa dibatalkan.

Antara penumpang yang terkandas ialah pekerja penjagaan kesihatan, Cik Josie Donoghue, yang terpaksa turun daripada pesawatnya ke Ireland selepas menunggu selama tiga jam di landasan Gatwick.

Beliau menyifatkan keadaan di lapangan terbang itu sebagai “mimpi ngeri”.

Lapangan terbang lain termasuk Liverpool, Birmingham dan Edinburgh turut terjejas, manakala Lapangan Terbang Dublin di Ireland membatalkan puluhan penerbangan.

Kejadian terbaru itu berlaku selepas masalah teknikal berkaitan radar pada Julai 2025 turut mengganggu penerbangan di beberapa lapangan terbang utama, termasuk Heathrow.

Pada Ogos 2023, Britain mengalami satu lagi kegagalan besar sistem kawalan trafik udara yang menjejas lebih 700,000 penumpang selepas ratusan penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan.

Gangguan itu berlaku pada antara tempoh perjalanan paling sibuk tahun tersebut dan dilaporkan menyebabkan syarikat penerbangan menanggung kerugian sekitar £100 juta.

Rentetan gangguan itu kini meningkatkan tekanan terhadap NATS dan pemerintah Britain untuk memastikan sistem kawalan trafik udara negara itu cukup kukuh bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti