LONDON: Lapangan Terbang Heathrow di Britain berkata ia boleh menampung tambahan 10 juta penumpang setahun menjelang 2031 dengan membuat perubahan pada terminal sedia ada sekiranya ia dibenarkan menaikkan bayaran.
Kerajaan telah menyatakan hasrat agar Lapangan Terbang Heathrow, yang terletak di barat London dan merupakan lapangan terbang paling sibuk di Eropah, membina landasan baru dalam satu projek peluasan besar yang dijangka tidak akan siap sebelum 2035.
Dalam rancangan 2027-2031 yang dibentangkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) pada 11 Julai, Heathrow berkata ia boleh melakukan peluasan awal sebelum landasan baru dibina dengan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi menambah bilangan penumpang.
Tambahan 10 juta penumpang setahun itu bersamaan peningkatan 12 peratus daripada bilangan semasa.
Lapangan terbang itu berkata rancangan peluasan tersebut memerlukan pihaknya menaikkan bayaran yang dikenakan ke atas syarikat penerbangan kepada £33.26 ($57.80) setiap penumpang, meningkat daripada purata yuran £28.46 setiap penumpang dalam tempoh kawal selia semasa.
Syarikat penerbangan sejak sekian lama telah mengutarakan rungutan bahawa Heathrow adalah salah satu lapangan terbang paling mahal di dunia dan telah meminta pihak pengawal selia supaya menurunkan bayaran tersebut.
CAA yang mengawal selia caj lapangan terbang, akan mengkaji rancangan tersebut sebelum membuat keputusan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg