Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran Lapangan Terbang Heathrow berpunca dari kegagalan penyelenggaraan

Jul 2, 2025 | 4:41 PM
Asap berkepul-kepul kelihatan menjulang dari kawasan pencawang elektrik dengan menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di latar belakang, selepas kebakaran memusnahkan bekalan elektrik di lapangan terbang tersebut, di Hayes, London, Britain, 21 Mac 2025. 
Asap berkepul-kepul kelihatan menjulang dari kawasan pencawang elektrik dengan menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di latar belakang, selepas kebakaran memusnahkan bekalan elektrik di lapangan terbang tersebut, di Hayes, London, Britain, 21 Mac 2025.  - Foto REUTERS

LONDON: Kebakaran yang menyebabkan penutupan Lapangan Terbang Heathrow pada bulan Mac lalu yang menjejas ribuan penumpang berpunca daripada kegagalan National Grid dalam menyelenggara sebuah pencawang elektrik, menurut laporan rasmi yang diterbitkan pada 2 Julai.

Insiden itu menyebabkan operasi di Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah, terhenti dan mengakibatkan kerugian puluhan juta paun kepada syarikat penerbangan. Ia turut menimbulkan persoalan serius mengenai ketahanan infrastruktur tenaga di Britain.

Menteri Tenaga, Encik Ed Miliband, menyifatkan dapatan laporan itu sebagai “amat membimbangkan.” Laporan tersebut disediakan hasil semakan oleh National Energy System Operator, entiti yang mengurus rangkaian elektrik negara dan yang dipisahkan daripada National Grid pada 2024.

Susulan laporan tersebut, pengawal selia tenaga Britain, Ofgem, telah melancarkan siasatan penguatkuasaan ke atas National Grid Electricity Transmission, iaitu syarikat yang memiliki dan menyelenggara rangkaian penghantaran elektrik voltan tinggi di England dan Wales.

Menurut laporan itu, semakan mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada “kegagalan besar” pada salah satu penebat voltan tinggi di pencawang 275kV milik National Grid Electricity Transmission, yang menyebabkan transformer terbakar.

“Kejadian ini besar kemungkinan berpunca daripada kelembapan yang memasuki penebat tersebut dan mencetuskan litar pintas elektrik,” jelas laporan itu. Ia juga menyatakan bahawa kawalan keselamatan yang digunakan oleh National Grid tidak berkesan, dan gagal mengenal pasti bahawa tiada tindakan diambil susulan bacaan kelembapan yang tinggi pada tahun 2018.

Jurucakap National Grid berkata bahawa syarikat itu mempunyai program pemeriksaan dan penyelenggaraan aset yang menyeluruh, dan langkah tambahan telah diambil selepas insiden kebakaran tersebut.

“Terdapat pengajaran penting yang perlu diambil berkaitan daya tahan rentas sektor dan keperluan koordinasi yang lebih baik,” kata jurucakap itu lagi.

Pihak Ofgem pula berkata bahawa semakan telah “mengesahkan bahawa punca utama kebakaran adalah kegagalan teknikal yang sepatutnya boleh dicegah.”

Pengawal selia itu akan menilai sama ada National Grid telah mematuhi undang-undang dan syarat lesen berkaitan pembangunan dan penyelenggaraan sistem elektrik berhampiran kawasan Heathrow.

Ofgem juga merancang untuk melantik audit bebas ke atas aset-aset milik National Grid bagi menilai sama ada kegagalan ini adalah kes terpencil atau menunjukkan kelemahan sistemik. — Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg