LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan akan memperkenalkan perintah berkurung penggunaan media sosial pada waktu malam bagi remaja berusia 16 dan 17 tahun sebagai sebahagian daripada usaha lebih tegas melindungi golongan muda daripada kesan ketagihan platform digital.

Langkah baharu itu diumumkan selepas Perdana Menteri, Keir Starmer, bulan lalu mengesahkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun yang dijadual berkuat kuasa pada awal 2027.

Di bawah peraturan baharu itu, remaja berusia 16 dan 17 tahun tidak lagi dibenarkan mengakses platform seperti Instagram dan Facebook antara tengah malam hingga 6 pagi.

Selain itu, kerajaan turut merancang untuk menetapkan ciri keselamatan secara automatik yang akan mematikan fungsi yang dianggap boleh menyebabkan ketagihan, termasuk ciri tatalan tanpa henti (infinite scrolling).

Bagaimanapun, pengguna masih boleh mematikan tetapan tersebut jika mereka mahu, menyebabkan beberapa pengkritik mempersoalkan keberkesanan langkah berkenaan.

Setakat ini, kerajaan belum menjelaskan bagaimana perintah berkurung itu akan dikuatkuasakan atau mekanisme yang akan digunakan bagi memastikan syarikat media sosial mematuhinya.

Menteri Teknologi Britain, Cik Liz Kendall, berkata walaupun remaja berusia 16 tahun mula menikmati lebih banyak kebebasan, mereka masih memerlukan perlindungan daripada ciri-ciri dalam talian yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental.

“Walaupun golongan muda mula lebih berdikari pada usia 16 tahun, mereka masih perlu dilindungi daripada ciri dalam talian yang boleh menyebabkan ketagihan dan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan mereka.

“Langkah ini penting untuk membantu mereka mendapat tidur yang mencukupi, memberi tumpuan kepada pelajaran di sekolah dan kolej serta meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Selain mengehadkan penggunaan media sosial pada waktu malam, kerajaan turut bercadang mengenakan syarat baharu terhadap penggunaan chatbot kecerdasan buatan (AI).

Di bawah cadangan itu, pengguna berusia bawah 18 tahun akan diminta berehat secara berkala ketika menggunakan chatbot AI bagi mengurangkan tempoh penggunaan yang berpanjangan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kesan media sosial dan teknologi AI terhadap kesihatan mental, corak tidur serta perkembangan emosi kanak-kanak dan remaja.

Bulan Jun lalu, Britain menjadi antara negara terbaharu yang mengumumkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.

Larangan itu melibatkan beberapa platform utama termasuk Snapchat, TikTok, YouTube, Instagram dan Facebook.

Kerajaan Britain berpendapat sekatan itu perlu bagi mengurangkan risiko ketagihan digital, buli siber serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan menerima reaksi bercampur-campur.

Beberapa pertubuhan kebajikan kanak-kanak menyambut baik langkah itu dan menyifatkannya sebagai perlindungan yang sudah lama diperlukan.

Namun, ada juga pihak yang memberi amaran bahawa sekatan terlalu ketat boleh mendorong kanak-kanak dan remaja menggunakan internet secara sembunyi atau melalui saluran yang kurang selamat.

Mereka berpendapat pendidikan literasi digital dan pengawasan ibu bapa perlu diperkukuhkan seiring dengan penguatkuasaan undang-undang.

Britain bukan satu-satunya negara yang memperkenalkan sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh golongan muda.

Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan larangan media sosial terhadap pengguna bawah 16 tahun pada Disember tahun lalu, walaupun pelaksanaannya dilaporkan menerima pelbagai reaksi dan cabaran.

Canada dan Amiriah Arab Bersatu turut mengumumkan langkah yang hampir sama, manakala Indonesia mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun pada Mac lalu.

Pemerhati berkata semakin banyak negara kini mengambil langkah lebih tegas bagi mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berikutan kebimbangan terhadap peningkatan masalah kesihatan mental, gangguan tidur, ketagihan digital dan risiko keselamatan dalam talian.

Mereka menjangkakan lebih banyak negara akan memperkenalkan dasar yang sama dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila penggunaan platform digital dan teknologi AI terus berkembang. - Agensi berita