Topik diikuti
Pergi ke BHkuTikTok, YouTube padam 4.7 juta akaun kanak-kanak di Indonesia
TikTok, YouTube padam 4.7 juta akaun kanak-kanak di Indonesia
TikTok, YouTube padam 4.7 juta akaun kanak-kanak di Indonesia
JAKARTA: Syarikat media sosial TikTok dan YouTube telah menyahaktifkan kira-kira 4.7 juta akaun milik kanak-kanak bawah usia 16 tahun di Indonesia, ketika peraturan baharu negara itu bagi mengehadkan penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur mula dikuatkuasakan.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, berkata TikTok telah memadam 4.1 juta akaun, manakala platform video YouTube milik Google menutup 600,000 akaun.
“Kami bukan sekadar melambatkan akses kanak-kanak, tetapi mahu tingkah laku platform juga berubah,” kata Cik Meutya pada 25 Jun.
Menurut beliau, kementerian kini sedang meneliti laporan penilaian kendiri yang dikemukakan oleh syarikat-syarikat media sosial terbabit.
Indonesia pada Mac lalu mengeluarkan peraturan yang mewajibkan syarikat media sosial menyahaktifkan akaun milik kanak-kanak bawah 16 tahun sekiranya platform mereka dikategorikan berisiko tinggi.
Setakat ini, platform yang termasuk dalam kategori tersebut ialah TikTok, YouTube, X, Instagram milik Meta dan platform permainan video Roblox.
Pemerintah Indonesia berkata langkah itu bertujuan mengurangkan risiko buli siber, ketagihan media sosial dan kesan buruk terhadap kesihatan mental serta perkembangan kanak-kanak.
Cik Meutya berkata kementerian mahu lebih banyak syarikat teknologi mematuhi peraturan tersebut dan mengambil tanggungjawab lebih besar dalam melindungi pengguna muda.
TikTok, yang dibangunkan syarikat teknologi China ByteDance, dan YouTube belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Langkah Indonesia itu menyusuli larangan serupa di Australia pada 2025, yang dilaksanakan selepas kebimbangan meningkat mengenai kesan media sosial terhadap kesihatan mental remaja.
Eksperimen dasar Australia itu kini diperhatikan dengan teliti oleh banyak negara yang sedang menimbang langkah sama bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dunia digital.
Britain juga mengumumkan pada Jun bahawa ia merancang sekatan lebih luas, termasuk terhadap platform permainan video dan penstriman langsung.
Perkembangan itu menunjukkan semakin banyak pemerintah mula mengambil pendekatan lebih tegas terhadap syarikat teknologi, terutama dalam isu keselamatan kanak-kanak, perlindungan data dan tanggungjawab platform digital. - Agensi berita
