Topik diikuti
Pergi ke BHkuBritain umum larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun
Britain umum larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun
Britain umum larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun
LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyatakan beliau bakal mengharamkan penggunaan laman media sosial bagi golongan di bawah usia 16 tahun, selain mengenakan sekatan terhadap platform permainan video dan penstriman langsung.
Langkah mendadak itu sebahagian usaha mengekang kuasa syarikat gergasi teknologi atau Big Tech, sekali gus menyaksikan Britain bertindak lebih tegas dan menyeluruh berbanding negara lain.
Menurut Encik Starmer dalam satu sidang media di Downing Street di pusat bandar London, pada 15 Jun, langkah menyeluruh itu akan “mengembalikan semula zaman kanak-kanak yang hilang”.
Beliau kemudian memberi perincian langkah penguatkuasaan terhadap beberapa platform termasuk Snapchat, TikTok dan Instagram, serta laman permainan video yang membolehkan orang yang tidak dikenali berkomunikasi dengan kanak-kanak.
“Langkah mengharamkan (media sosial) secara sepenuhnya jelas merupakan keputusan yang tepat bagi saya.
“Ini akan mengubah perbualan antara ibu bapa dan jangkaan terhadap anak-anak dari semasa ke semasa.
“Ia akan membawa perubahan yang besar, ia akan menjadikan anak-anak kita lebih selamat, ia akan menjadikan anak-anak kita lebih bahagia, ia akan memberi mereka lebih banyak masa, lebih keselamatan, lebih kebebasan untuk dewasa, dan lebih peluang,” katanya.
Britain bakal memupuk model yang serupa seperti yang dilakukan di Australia, yang telah pun menguatkuasakan larangan media sosial pada Disember 2025.
Langkah tersebut merangkumi platform seperti YouTube, Facebook dan X, namun platform khidmat pesanan seperti WhatsApp dan Signal tidak akan terjejas.
Britain juga akan memperkenalkan “sekatan sejagat yang menyeluruh” terhadap wadah yang memudaratkan, seperti platform penstriman langsung dan wadah yang membenarkan individu yang tidak dikenali berkomunikasi bersama kanak-kanak di bawah usia 16 tahun.
Encik Starmer menekankan, kerajaan Britain sudah mempunyai kuasa mengambil langkah pertama dalam sebarang larangan yang dibuat, katanya, dengan peraturan yang akan menyusul menjelang akhir 2026 dan larangan tersebut berkuat kuasa sekitar musim bunga 2027.
Siri langkah tersebut diusahakan menyusuli usaha kerajaan Britain yang lebih meluas terhadap syarikat teknologi sejak beberapa tahun lalu.
Antaranya, termasuk menggesa atau memaksa syarikat terbabit agar memperhebatkan langkah keselamatan seperti memperkenalkan pengesahan usia, mengubah suai algoritma, serta menghalang kanak-kanak daripada menyebar imej lucah yang diambil menggunakan telefon bimbit. – Reuters.
