Topik diikuti
Pergi ke BHkuBritain tukar konsulat di Baitulmakdis kepada misi UK selepas arahan tutup Israel
Britain tukar konsulat di Baitulmakdis kepada misi UK selepas arahan tutup Israel
BAITULMAKDIS: Britain menukar Konsulat Jeneralnya di Baitulmaqdis Timur kepada “Misi UK, Baitulmakdis” selepas Israel mengarahkan pejabat diplomatik yang sudah beroperasi hampir 200 tahun itu ditutup berikutan pertikaian mengenai sekatan Britain terhadap penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.
Pekerja dilihat menanggalkan papan tanda dan plak bertulis “British Consulate General” atau Konsulat Jeneral Britain serta papan tanda bahagian konsular di bangunan itu pada 7 Oktober, ketika tempoh 30 hari yang diberikan Israel untuk menutup konsulat tersebut berakhir.
Namun, bendera Britain masih berkibar di bangunan berkenaan.
Menteri Luar Britain, Encik Ed Miliband, berkata bangunan itu tidak akan ditutup, sebaliknya akan beroperasi dengan nama baru, “Misi UK, Baitulmakdis”.
Beliau menegaskan Britain tidak menerima bahawa pemerintahan Israel mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menutup konsulat tersebut.
“Kerajaan Britain mengulangi pendirian sejak sekian lama bahawa Baitulmakdis Timur adalah wilayah yang diduduki,” katanya dalam satu kenyataan.
“Selepas perbincangan dengan pemerintahan Israel, bangunan Konsulat Jeneral kami tidak akan ditutup dan mulai hari ini akan dikenali sebagai Misi UK, Baitulmakdis.
“Misi UK, Baitulmakdis kekal bebas, beroperasi dan akan terus menyediakan perkhidmatan penting serta meneruskan kerja kami bersama rakyat Palestin,” katanya.
Konsulat yang terletak di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmakdis Timur, mengendalikan hubungan Britain dengan rakyat Palestin di Baitulmakdis, Tebing Barat dan Gaza, selain menyediakan perkhidmatan konsular kepada rakyat Palestin.
Kehadiran diplomatik Britain di Baitulmakdis bermula hampir 200 tahun lalu, jauh sebelum penubuhan Israel pada 1948.
Pertikaian tercetus selepas Israel pada September memberi Britain tempoh 30 hari untuk menutup konsulat itu dan mengarahkan diplomatnya meninggalkan Baitulmakdis.
Arahan itu dikeluarkan selepas Britain mengumumkan langkah terhadap penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk rancangan melarang perdagangan barangan yang dihasilkan di penempatan tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara menganggap penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sebagai melanggar undang-undang antarabangsa, pendirian yang dipertikaikan Israel.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Sa’ar, berkata Konsul Jeneral Britain dan 20 kakitangan diplomatik akan menamatkan tugas mereka serta meninggalkan Israel.
Menurutnya, tujuh diplomat akan kekal.
“Kami tidak mahu keadaan sampai ke tahap ini, tetapi tindakan pemerintah Parti Buruh Britain membawa kami ke sini,” katanya.
Encik Sa’ar berkata keputusan itu turut dibuat selepas Britain menuduh pemerintahan Israel menutup mata terhadap apa yang disifatkan London sebagai “penghapusan etnik” rakyat Palestin di beberapa kawasan Tebing Barat.
Beliau menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu terhadap Israel.
Encik Miliband sebelum ini berkata Britain mengambil pendekatan baru kerana rancangan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat boleh menyebabkan penyelesaian dua negara tidak lagi dapat dilaksanakan.
Beliau turut menuduh pendatang haram Israel melakukan tindakan yang menyebabkan rakyat Palestin dipaksa meninggalkan kawasan tertentu dan mendakwa pemerintahan Israel sering gagal mengambil tindakan terhadap perkara itu.
Israel menolak kritikan Britain dan pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menuduh Parti Buruh yang memerintah Britain bersikap memusuhi Israel.
London sebelum ini berusaha menghalang penutupan konsulat itu menerusi rundingan diplomatik.
Penasihat keselamatan negara Britain turut mengunjungi Israel minggu lalu bagi mengadakan rundingan mengenai isu berkenaan.
Encik Miliband berkata Britain mencapai satu persefahaman bagi memastikan keselamatan serta perlindungan kakitangan dan premisnya.
Bagaimanapun, Britain buat sementara waktu mengundurkan sebahagian kakitangan serta anggota keluarga mereka atas faktor keselamatan.
“Kami akan berusaha dalam beberapa bulan akan datang untuk membina semula kehadiran kami dan kami tidak akan mengambil tindakan balas selagi perbincangan sedemikian diteruskan dan kekal berwibawa,” katanya.
Arahan Israel itu tidak menjejaskan Kedutaan Britain di Tel Aviv, yang mengendalikan hubungan diplomatik London dengan pemerintahan Israel.
Pertikaian terbaru itu menandakan kemerosotan lanjut hubungan antara Britain dengan Israel, meskipun kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat dalam bidang ekonomi, keselamatan dan risikan.
Hubungan mereka semakin tegang sejak tiga tahun lalu apabila Britain berulang kali mengkritik tindakan Israel dalam perang Gaza serta keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Britain menegaskan langkah yang diumumkannya pada 8 September bersama beberapa negara lain bertujuan menyokong penyelesaian dua negara bagi mencapai keamanan dan keselamatan untuk rakyat Israel dan Palestin.
Walaupun papan tanda Konsulat Jeneral sudah diturunkan, London menegaskan kehadirannya di Baitulmakdis akan diteruskan menerusi Misi UK, Baitulmakdis, termasuk dalam hubungannya dengan rakyat Palestin. - Agensi berita