LONDON: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskiy, dan Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengumumkan daya usaha pengeluaran bersama industri pertahanan baru pada 23 Jun.
Ia dilakukan semasa lawatan singkat pemimpin Ukraine itu ke London untuk membincangkan hal konflik negaranya dengan Russia.
Moscow pula berkata negaranya sedang meningkatkan pengeluaran peluru berpandu hipersonik, Oreshnik, yang pernah digunakan untuk menyerang Ukraine.
Encik Starmer dan Encik Zelenskiy mengumumkan perjanjian itu di tempat kediaman Encik Starmer di Downing Street.
Mereka turut bertemu anggota tentera Ukraine yang sedang menjalani latihan di Britain.
“Saya sangat berbangga kerana kami dapat mengumumkan perjanjian pengeluaran bersama industri ketenteraan yang pertama seumpama ini yang akan menjadi satu langkah besar ke hadapan,” kata Encik Starmer tanpa memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian itu.
Kerjasama itu ujar Encik Zelenskiy, akan membantu mengukuhkan hubungan dua negara tersebut dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Britain atas sokongannya dalam perang menentang Russia.
Encik Starmer berjanji akan terus memberi sokongan “sepanjang tempoh konflik” dan membantu meletakkan Ukraine dalam “kedudukan paling kukuh” untuk merundingkan gencatan senjata.
Pemimpin Ukraine itu dijangka menghadiri sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di The Hague, Belanda, pada 24 dan 25 Jun.
Menurut Encik Starmer, sekutu Ukraine akan berusaha “memastikan Ukraine berada dalam kedudukan terbaik semasa kita melangkah ke peringkat selanjutnya dalam konflik ini”.
Sementara itu, sekutu Nato kini bersedia meningkatkan perbelanjaan pertahanan untuk menentang ancaman Russia, kata Setiausaha Agungnya, Encik Mark Rutte.
Sejumlah 32 anggota perikatan itu berjanji meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 5 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), sesuai dengan gesaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang telah lama merungut bahawa Amerika mengeluarkan terlalu banyak wang untuk Nato.
Di Moscow, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata negaranya sedang meningkatkan pengeluaran peluru berpandu hipersonik Oreshnik, yang dilancarkan buat kali pertama menentang Ukraine pada November 2024.
“Pengeluaran bersiri sistem peluru berpandu jarak sederhana Oreshnik sedang dijalankan,” kata Encik Putin kepada lulusan kadet tentera dalam komen yang disiarkan di televisyen.
Sistem itu telah terbukti berfungsi dengan baik dalam keadaan pertempuran, tambahnya.
Russia mula menggunakan peluru berpandu Oreshnik terhadap Ukraine pada 21 November 2024, apabila Encik Putin berkata ia telah meluncurkan peluru berpandu ke arah perusahaan pertahanan di bandar Dnipro.
Menurutnya, beliau telah membenarkan serangan itu sebagai tindak balas langsung terhadap Ukraine yang menggunakan peluru berpandu balistik buatan Amerika dan peluru berpandu jarah jauh buatan Britain untuk menyerang wilayah Russia, selepas negara Barat memberikan kebenaran.
Encik Putin kemudian mengancam serangan lanjut, termasuk terhadap “pusat membuat keputusan” di Kyiv, jika Ukraine terus menyerang Russia dengan senjata jarak jauh buatan Barat. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg