KYIV: Ukraine berkata ia telah memusnahkan pesawat pengebom Russia bernilai berbilion dolar dalam satu serangan dron “berskala besar” di wilayah milik musuh, ketika negara itu bersiap sedia untuk mengadakan rundingan dengan pihak Moscow bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata.
Dalam dakwaan yang dianggap luar biasa, Ukraine berkata pihaknya telah merosakkan sebilangan pesawat Russia bernilai AS$7 bilion ($9 bilion) yang berada di empat pangkalan udara, ribuan kilometer dari wilayahnya.
Ukraine turut memuat naik satu rakaman video yang belum dapat disahkan, menunjukkan pesawat tersebut terbakar serta diliputi asap hitam.
Satu sumber dalam perkhidmatan keselamatan Ukraine berkata dron-dron tersebut telah disembunyikan di bahagian siling sebuah kontena penghantaran, yang kemudian dibuka untuk melepaskan dron bagi serangan tersebut.
Operasi yang telah lama dirancang itu berlaku pada saat cukup sensitif, menjelang rundingan dengan Russia.
Satu sumber dalam perkhidmatan keselamatan Ukraine, SBU, berkata serangan yang diselaraskan di dalam wilayah Russia itu bertujuan “memusnahkan pesawat pengebom musuh yang (pangkalannya) berada jauh dari barisan hadapan”.
Satu akaun Telegram yang rapat dengan ketenteraan Russia, Rybar, menyifatkan serangan itu sebagai “tamparan yang amat hebat” buat Moscow, sambil menyalahkan perisikan Russia atas “kesilapan serius” mereka.
Sumber SBU itu berkata serangan itu menyasarkan pangkalan udara Russia di bandar Belaya di timur Siberia; di Olenya yang terletak di Artik berhampiran Finland; serta di Ivanovo dan Dyagilevo, kedua-duanya di sebelah timur Moscow.
Lebih 40 pesawat terkena serangan di pangkalan Belaya dan kebakaran turut tercetus di situ, tambah SBU, sambil menunjukkan satu rakaman video yang memaparkan beberapa pesawat terbakar dengan asap hitam membumbung ke udara.
Agensir berita, AFP, tidak dapat mengesahkan dakwaan atau imej video berkenaan.
Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan di Telegram beberapa pesawat tenteranya “terbakar”, sambil menambah tiada kematian dilaporkan dan beberapa “individu yang terlibat” telah ditahan.
Russia sejak kebelakangan ini kerap mengumumkan serangan dron oleh Ukraine, lazimnya dengan mendakwa kesemua dron berjaya dipintas.
Namun, serangan sejauh ini di dalam wilayahnya jarang dilaporkan.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada 1 Jun berkata beliau telah menghantar satu delegasi ke Istanbul yang diketuai Menteri Pertahanan, Encik Rustem Umerov, untuk mengadakan rundingan bersama pegawai Russia pada 2 Jun.
Turkey menjadi tuan rumah bagi pertemuan yang tercetus hasil desakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mencapai perjanjian pantas bagi menamatkan perang yang telah berlanjutan selama tiga tahun itu.
Encik Zelensky, yang sebelum ini menyuarakan keraguan sama ada Russia benar-benar serius dalam mengadakan rundingan dalam pertemuan pada 2 Jun, berkata beliau telah menjelaskan kedudukan delegasi Ukraine sebelum rundingan tersebut.
Antara keutamaan beliau termasuk “gencatan senjata penuh dan tanpa syarat” serta pemulangan tahanan dan kanak-kanak yang diculik, katanya menerusi media sosial.
Russia berkata ia telah merangka syarat perdamaian sendiri namun enggan mendedahkannya terlebih dahulu.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, juga telah menolak cadangan Turkey agar ketua-ketua negara menghadiri pertemuan itu.
Agensi berita Russia melaporkan bahawa delegasi negara itu sedang dalam perjalanan ke Istanbul pada 1 Jun untuk mengadakan rundingan. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg