Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ukraine dakwa Russia lancar serangan dron besar-besaran ke atas Kyiv

Jun 23, 2025 | 2:21 PM
serangan dron, Russia, ukraine
Para anggota bomba giat memadam api yang menjilat sebuah pangsapuri ekoran serangan dron dan peluru berpandu Russia pada 23 Jun 2025. - Foto REUTERS

KYIV: Ukraine berkata pada 23 Jun bahawa “satu lagi serangan besar-besaran” ke atas Kyiv telah membunuh sekurang-kurangnya seorang, sehari selepas komander tertinggi tentera negara itu berikrar memperhebat serangan ke atas Russia.

Usaha diplomatik bagi menamatkan perang tiga tahun telah terhenti, dengan pertemuan langsung terakhir antara kedua-dua pihak berlangsung hampir tiga minggu lalu dan tiada rundingan susulan dijadualkan.

“Satu lagi serangan besar-besaran ke atas ibu negara. Mungkin ini gelombang dron daripada pihak musuh,” kata Ketua Pentadbiran Tentera Kyiv, Encik Tymur Tkachenko, dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera, kata pentadbiran tentera.

Wartawan AFP di Kyiv mendengar bunyi dron yang terbang di atas pusat bandar dan letupan serta tembakan.

Beliau melihat kira-kira 10 orang berteduh di ruang bawah tanah sebuah bangunan kediaman di tengah ibu kota menunggu serangan tamat.

Serangan terkini itu dibuat selepas ketua komander Ukraine, Encik Oleksandr Syrsky, berikrar memperhebat serangan ke atas Russia.

“Kami tidak akan hanya duduk mempertahankan diri kerana ini tidak membawa apa-apa dan akhirnya menjuruskan kepada fakta bahawa kami masih berundur, kehilangan warga dan wilayah,” katanya.

Justeru, Encik Syrsky berkata Ukraine akan meneruskan serangan ke atas sasaran tentera Russia, yang katanya telah terbukti “berkesan”.

“Sudah tentu, kami akan teruskan. Kami akan meningkatkan skala dan kedalaman serangan,” ujar beliau.

Ukraine telah melancarkan serangan balas terhadap Russia dengan menyasarkan tenaga dan prasarana ketenteraan kadangkala ratusan kilometer dari barisan hadapan.

Kyiv berkata serangan itu adalah tindak balas yang adil terhadap serangan maut Russia ke atas prasarana Ukraine dan orang awam.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan semalaman Russia ke atas sebuah bangunan pangsapuri di bandar Kramatorsk di timur Ukraine.

Sementara itu, serangan ke atas tempat latihan tentera Ukraine pula mengorbankan tiga yang lain, kata pegawai.

Dalam pada itu, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata pada 20 Jun bahawa Russia dan Ukraine adalah satu bangsa, “dan dalam erti kata itu seluruh Ukraine adalah milik kita”.

Beliau turut tidak menolak Russia akan menguasai bandar Sumy di Ukraine.

Encik Putin yang bercakap di forum ekonomi antarabangsa di St Petersburg, berkata Russia tidak pernah meragui hak kedaulatan Ukraine, tetapi apabila Ukraine mengisytiharkan kemerdekaannya pada 1991 ia adalah sebagai “negara berkecuali”.

Menjawab soalan mengenai matlamat perang Russia, Encik Putin menyatakan negaranya berjuang di Ukraine demi melindungi keselamatannya sendiri.

“Kami mempunyai pepatah yang berbunyi di mana kaki seorang askar Russia melangkah, di situlah milik kita,” tambahnya.

Kyiv dan sekutu Baratnya telah menolak dakwaan Moscow terhadap empat wilayah Ukraine dan Crimea sebagai haram, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, telah berulang kali menolak tanggapan bahawa Russia dan Ukraine adalah satu bangsa.

Menurut Encik Putin, tentera Russia sedang membuka zon penampan di wilayah Sumy di Ukraine bagi melindungi wilayah Russia dan mungkin cuba menguasai ibu kota wilayah itu. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg