MANILA: Dua orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, terkorban manakala beberapa yang lain tercedera selepas sebuah kereta merempuh pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di Manila pada 4 Mei, kata Palang Merah Filipina.
Pihak lapangan terbang itu berkata “kemalangan kenderaan” itu berlaku pada awal 4 Mei apabila sebuah kereta merempuh pengadang luar dan melanggar laluan pejalan kaki berhampiran pintu masuk Terminal 1 NAIA.
“Kami faham kerisauan yang timbul daripada insiden ini, terutama apabila imej-imej insiden ini tersebar di media sosial.
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menunggu kemas kini sah, yang akan dikeluarkan secepat mungkin,” kata NAIA dalam satu kenyataan.
Palang Merah Filipina, yang dikerahkan ke lokasi kejadian, berkata insiden itu mengakibatkan kematian dua individu – seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.
Imej yang dikongsi media tempatan di platform media sosial menunjukkan beberapa individu terbaring di lantai.
Kaca dilihat bertaburan di kawasan pintu masuk, manakala bahagian depan sebuah kereta SUV hitam rosak teruk selepas terlanggar pintu lapangan terbang itu.
NAIA berkata mereka yang cedera sedang menerima rawatan, dan pemandu kenderaan berkenaan kini ditahan polis. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg