Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat terbalik di Toronto, 18 cedera

Feb 18, 2025 | 10:14 AM
Sebuah pesawat Delta Air Lines yang membawa 80 orang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Pearson Toronto, Canada pada 17 Februari. Pesawat itu terbalik susulan angin kencang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 cedera, namun tiada kematian dilaporkan.
Sebuah pesawat Delta Air Lines yang membawa 80 orang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Pearson Toronto, Canada pada 17 Februari. Pesawat itu terbalik susulan angin kencang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 cedera, namun tiada kematian dilaporkan. - Foto AFP

TORONTO: Sebuah pesawat Delta Air Lines yang terbang dari Lapangan Terbang Minneapolis-St. Paul, Amerika Syarikat terbalik setelah mendarat di Lapangan Terbang Pearson Toronto, Canada akibat tiupan angin kencang selepas ribut salji.

Kejadian pada 17 Februari itu menyebabkan 18 daripada 80 penumpang yang berada di dalam pesawat cedera, dengan tiga daripadanya cedera parah, termasuk seorang kanak-kanak, kata pihak berkuasa.

Namun tiada kematian dilaporkan

Menurut Delta, pesawat jenis CRJ900 membawa 76 penumpang dan empat kru.

Pesawat yang berusia 16 tahun itu, yang dibina oleh Bombardier dari Canada, boleh membawa sehingga 90 penumpang.

Pihak berkuasa Canada kini sedang menyiasat punca kejadian.

Seorang penumpang, Encik John Nelson, memuat naik video susulan kejadian di Facebook yang menunjukkan sebuah trak bomba menyembur air ke arah pesawat yang terbalik di atas landasan bersalji.

Beliau kemudian memberitahu CNN bahawa tiada sebarang tanda kecemasan sebelum pesawat mendarat.

“Kami mendarat, kami berada dalam kedudukan serong, kemudian pesawat terbalik,” kata Encik Nelson.

“Saya dapat membuka tali pinggang keledar dan seakan terjatuh serta diheret ke bawah. Beberapa orang terperangkap dan memerlukan bantuan untuk turun, sementara yang lain dapat turun sendiri,” tambahnya.

Pihak lapangan terbang Pearson sebelum itu melaporkan bahawa cuaca berangin dan suhu sejuk yang melampau menyebabkan beberapa penerbangan tertangguh.

Ribut salji yang melanda menyebabkan lebih 22 sentimeter salji tebal membentuk di lapangan terbang tersebut.

Pesawat Delta itu mendarat di Toronto pada 2.13 petang waktu tempatan, selepas penerbangan selama 86 minit.

Menurut data yang diperoleh daripada laman web pemantauan penerbangan, FlightRadar24, pesawat itu berhenti di kawasan persimpangan landasan 23 dan landasan 15.

Menurut pekerja kecemasan, “pesawat itu terbalik dan terbakar,” jelasnya kepada menara kawalan trafik udara,

Sementara seorang pengawal trafik udara melaporkan adanya penumpang yang berjalan berhampiran pesawat yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Presiden Lapangan Terbang Toronto, Cik Deborah Flint, melahirkan rasa syukur tiada kematian dilaporkan kecuali nereka yang mengalami cedera ringan.

“Kami sangat bersyukur kerana tidak ada kehilangan nyawa dan kecederaan yang dialami adalah agak ringan,” kata Cik Flint dalam sidang media.

Profesor Madya Michael J. McCormick, pakar pengurusan trafik udara di Universiti Embry-Riddle Aeronautical, berkata kedudukan pesawat yang terbalik menjadikan nahas itu agak unik.

“Namun, hakikat bahawa 80 orang terselamat dalam kejadian seperti ini adalah bukti kejayaan kejuruteraan, teknologi, serta sistem peraturan yang diterapkan, yang memungkinkan seseorang itu terus hidup dalam kejadian yang pada masa lalu mungkin telah meragut nyawa,” tambahnya.

Kesemua 18 orang yang cedera dibawa ke hospital berdekatan, dengan dua daripadanya dibawa dengan helikopter ke pusat trauma, manakala seorang kanak-kanak dihantar ke hospital kanak-kanak.

Lapangan Terbang Toronto ditutup selama lebih dua jam sebelum penerbangan dapat disambung semula.

Kejadian itu menyebabkan kelewatan di lapangan terbang serta lencongan penerbangan ke lapangan terbang lain, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Montreal-Trudeau yang bersedia menerima beberapa penerbangan yang dipesongkan.

Cik Flint menyatakan bahawa kesan operasi dan kelewatan dijangka berterusan selama beberapa hari, dengan dua landasan ditutup untuk siasatan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Canada (TSB) mengumumkan bahawa pasukan penyiasat akan dihantar ke lokasi kejadian, dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) akan memberi bantuan kepada TSB Canada dalam siasatan tersebut.

“Pihak kami sedar tentang kejadian ini dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan,” kata kenyataan Mitsubishi Heavy Industries yang membeli program pesawat CRJ dari Bombardier pada 2020. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg