RAFAH (Jaluran Gaza): Sedang azan maghrib berkumandang di seluruh Gaza yang dalam kehancuran, keluarga Encik Abu Rizek berbuka puasa dengan hidangan yang dikongsi bersama di runtuhan rumah mereka.
Walaupun mereka sekeluarga dapat mengumpulkan makanan yang mencukupi untuk berbuka puasa, ramai rakyat Palestin yang lain kurang bernasib baik di wilayah yang dilanda kebuluran itu.
“Ramadan yang lalu bagus, tetapi tahun ini (2024) tidak. Banyak perkara tidak ada lagi. Adik-adik perempuan saya, keluarga saya. Rumah kami musnah. Masih ada orang di bawah runtuhannya yang tidak ditarik keluar,” kata Cik Um Mahmoud Abu Rizek.
“Kami hanya makan sup dan makanan dalam tin. Satu tin kekacang. Kami sangat bosan dengan makanan dalam tin dan kami muak dengannya. Anak saya selalu mengatakan perutnya sakit,” katanya, mengimbau hidangan yang banyak pada Ramadan lalu (2023).
Biasanya, anggota keluarga berkumpul dengan rakan dan jiran untuk duduk pada waktu malam, makan, solat dan merai bersama-sama.
“Tahun ini (2024) tiada jiran atau orang tersayang. Mereka tiada lagi di sini. Hanya kami dan anak-anak sahaja yang tinggal, duduk di sini. Saya tidak tahu apa akan jadi pada kami,” katanya.
Harapan untuk gencatan senjata Ramadan musnah dengan Israel dan Hamas bertelagah mengenai syarat-syaratnya.
Seperti Encik Abu Rizek, seorang sukarelawan, Encik Adnan Sheikh al-Eid, hanya dapat mengingati kemeriahan Ramadan lalu (2023).
“Dulu ada hiasan, makanan dan minuman. Tahun ini (2024) rasa sedih dan putus asa,” katanya.
“Saya berumur 60 tahun dan tidak pernah mengalami Ramadan seperti ini,” tambah beliau. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg