LOS ANGELES: Kandungan tinggi fosforus, unsur penting bagi semua proses biologi di bumi, telah dikesan dalam kristal air batu yang dimuntahkan dari lautan pedalaman bulan planet Zuhal (Saturn), Enceladus.
Ini menambah potensi Enceladus untuk menampung kehidupan, lapor penyelidik pada Rabu.
Penemuan itu berdasarkan data yang dikumpul oleh kapal angkasa lepas Cassini milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa), Amerika Syarikat.
Pertama kali ia mengorbit Zuhal, semasa penerokaan selama 13 tahun ke atas planet gas gergasi itu, gegelang dan bulannya adalah dari 2004 hingga 2017.
Ia diterbitkan oleh pasukan saintis antarabangsa yang diketuai Jerman dalam jurnal Nature dan diumum oleh Jet Propulsion Laboratory (JPL), iaitu makmal Nasa di Los Angeles yang mereka bentuk dan membina Cassini.
Pasukan yang sama sebelum ini mengesahkan butiran air batu Enceladus mengandungi pelbagai jenis mineral dan sebatian organik kompleks, termasuk bahan untuk asid amino, yang dikaitkan dengan kehidupan seperti yang diketahui saintis.
Namun, fosforus, yang jumlahnya paling sedikit daripada enam unsur kimia yang dianggap perlu bagi semua kehidupan – yang lain ialah karbon, oksigen, hidrogen, nitrogen dan sulfur – tiada dalam penemuan sehingga kini.
“Ini kali pertama unsur penting ini ditemui di lautan di luar bumi,” kata pengarang utama kajian itu, Dr Frank Postberg, seorang saintis planet di Universiti Free di Berlin, dalam kenyataan akhbar JPL.
Fosforus adalah asas struktur DNA dan bahagian penting membran sel dan molekul pembawa tenaga yang wujud dalam semua bentuk kehidupan di bumi.
Kajian terkini itu berdasarkan ukuran yang diambil oleh Cassini ketika ia terbang melalui butiran air batu kaya garam yang terpancut ke angkasa dari pancutan air panas. Ia meletus dari lautan bawah permukaan kerak beku Enceladus di kutub selatannya.
Lautan pedalaman yang ditemui oleh Cassini telah menjadikan Enceladus – kira-kira satu pertujuh saiz bulan bumi dan yang keenam terbesar dalam kalangan 146 satelit semula jadi Zuhal – calon utama dalam pencarian tempat dalam sistem suria di luar bumi yang boleh didiami, walau untuk mikrob.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg